FBM KLCI kekal dalam sentimen konsolidasi berikutan kekurangan hala tuju yang jelas dalam kalangan pelabur - Foto hiasan
FBM KLCI kekal dalam sentimen konsolidasi berikutan kekurangan hala tuju yang jelas dalam kalangan pelabur - Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengakhiri hari dagangan terakhir pada bulan ini dengan penurunan kecil selepas indeks utama berada antara aliran peningkatan dan penurunan berikutan pelabur dilihat menjalankan dagangan secara berhati-hati menjelang pengumuman Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Amerika Syarikat (AS) dan China.

Pada 5 petang, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 1.31 mata kepada 1,454.19 daripada 1,455.50 pada Isnin.

Suasana pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 739 berbanding 255 manakala 307 kaunter tidak berubah, 946 tidak diniagakan dan 55 yang lain digantung.

Jumlah dagangan, bagaimanapun, melonjak kepada 4.63 bilion unit bernilai RM3.95 bilion daripada 3.09 bilion unit bernilai RM2.19 bilion pada Isnin.

Pelabur sedang menantikan data keyakinan pengguna AS, inventori borong dan PMI Chicago malam ini, serta PMI pembuatan pada Februari dan Caixin rasmi China yang dijadualkan pada Rabu, untuk petunjuk baharu mengenai trajektori ekonomi dua ekonomi terbesar dunia itu.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata FBM KLCI kekal dalam sentimen konsolidasi berikutan kekurangan hala tuju yang jelas dalam kalangan pelabur.

"Indeks serantau utama turut berada dalam pola yang sama berikutan kebimbangan mengenai kenaikan kadar faedah AS yang terus menjejaskan sentimen serantau.

"Selain itu, sentimen pelabur juga terjejas oleh ketegangan geopolitik yang meningkat, dengan hubungan AS-China menjadi ketidaktentuan yang dominan pada minda pelabur," katanya kepada Bernama.

Sentimen dalam pasaran ekuiti China menjadi tidak pasti mengenai pemulihan ekonomi republik itu, dengan pelabur kini beralih kepada pertemuan 'dua sesi' di Beijing, China mulai 4 Mac dengan harapan kepada lebih banyak rangsangan dasar.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Tenaga Nasional merosot 27 sen kepada RM9.37, Petronas Dagangan berkurangan 96 sen kepada RM21.02, Maxis susut sembilan sen kepada RM3.91 manakala Sime Darby Plantation dan Dialog, masing-masing turun tujuh sen kepada RM4.23 dan RM2.25.

CIMB naik tujuh sen kepada RM5.61 manakala Maybank meningkat lima sen kepada RM8.80.

Bagi saham aktif, Velesto berkurangan 8.5 sen kepada 19 sen, Hartalega merosot lapan sen kepada RM1.47, Gamuda tidak berubah pada RM4.20 dan Pharmaniaga susut 17 sen kepada 27 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 26.12 mata kepada 10,579.13, Indeks FBMT 100 merosot 6.68 mata kepada 10,271.46 dan Indeks FBM ACE jatuh 178.44 mata kepada 5,358.27.

Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 62.35 mata kepada 10,797.67 dan Indeks FBM 70 menambah 2.14 mata kepada 13,436.63.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 63.81 mata kepada 16,194.83, Indeks Tenaga merosot 46.37 mata kepada 843.57, Indeks Perladangan berkurangan 2.80 mata kepada 6,766.64 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan susut 0.63 mata kepada 177.43.

Jumlah dagangan Pasaran Utama melonjak kepada 3.56 bilion saham bernilai RM3.64 bilion daripada 1.89 bilion saham bernilai RM1.85 bilion pada Isnin.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 305.37 juta unit bernilai RM54.41 juta daripada 335.38 juta unit bernilai RM50.88 juta semalam.

Jumlah dagangan Pasaran ACE merosot kepada 764.19 juta saham bernilai RM260.79 juta daripada 808.61 juta saham bernilai RM283.14 juta sebelum ini.

Kaunter barangan pengguna dan perkhidmatan menyumbang 392.61 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk perindustrian dan perkhidmatan (643.81 juta); pembinaan (264.81 juta); teknologi (459.05 juta); SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (120.21 juta); hartanah (166 juta); perladangan (40.20 juta); REIT (10.44 juta), dana tertutup (9,000); tenaga (874 juta); penjagaan kesihatan (410 juta); telekomunikasi dan media (60.58 juta); pengangkutan dan logistik (65.39 juta) dan utiliti (57.30 juta).

-BERNAMA