Naib Presiden UMNO itu menjelaskan walaupun dipilih sebagai poster boy pada PRU-15 lalu, namun ia tidak bermakna beliau mempunyai kuasa sepenuhnya semasa memilih calon dan lebih malang lagi banyak calon yang sepatutnya menang disingkirkan.

“Poster boy dalam PRU-15 baru-baru ini hanyalah poster boy, poster boy sebagai poster… poster sahajalah.

“Tapi dari segi kuasa sebagai poster boy tidak ada… Sebagai contoh, memilih calon. Kalau saya nak jadi Perdana Menteri, ini bermaksud Ahli Parlimen itu sayalah pilih sepatutnya sebab yang menang itu akan bekerja dibawah saya… Saya akan lantik mereka jadi menteri,” katanya dalam satu video wawancara yang disiarkan dalam TikTok.

Jelas Ismail Sabri lagi, sudahlah tidak diberi kuasa untuk memilih calon dan ramai juga calon-calon yang juga merupakan rakan yang berada dalam pentadbirannya sebelum ini tidak dicalonkan semula dengan digantikan calon lain oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Bukan sahaja saya tidak memilih calon, tetapi calon-calon saya, kawan-kawan saya kena pancung.

“Annuar Musa (Tan Sri Annuar Musa) kena pancung, Shahidan Kassim (Datuk Seri Shahidan Kassim) kena pancung, Tajuddin Rahman (Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman), YB Salim Jempol (Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif), Dr Adham Baba (Datuk Seri Dr Adham Baba), Halimah Sadique (Datuk Halimah Mohamed Sadique) diantara contoh calon kena pancung,” katanya lagi.

Untuk rekod, hampir semua Ahli Parlimen yang berada dalam Kabinet Ismail Sabri sebelum ini tidak dicalonkan semula dan digantikan muka baharu.

Menurut Ismail Sabri lagi, melihat kepada senario tersebut apabila banyak calon-calon yang rapat dengan beliau disingkirkan, ia jelas menunjukkan kuasa sebagai poster boy sama sekali tidak ada.

“Poster boy tapi menteri-menteri yang saya nak lantik yang ini bukan dikalangan saya, itu pun dah nampak jelas… Saya poster boy tapi tak ada kuasa sebagai poster boy,” katanya lagi.

Malah, manifesto yang dibentangkan oleh Zahid secara bersendirian semasa kempen PRU-15 lalu bukan dibuat oleh beliau walaupun diletak sebagai poster boy bagi UMNO-Barisan Nasional (BN).

“Waktu manifesto diumumkan, saya tiada… Poster boy pun orang tak jelas, betul ke saya.

“Sebab itu dalam pilihan raya ada timbul kempen dimana-mana mengatakan ‘Undi BN, Zahid PM’… Undi BN, dapat Zahid sebagai PM dan waktu pilihan raya semua kempen seperti itu,” ujarnya lagi.

Sumber | Agendadaily