Memetik laporan FMT, Zahid berkata terbukti apabila ada parti yang memenangi banyak kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) gagal membentuk kerajaan, sebaliknya UMNO yang tidak memenangi banyak kerusi dapat menganggotai kerajaan perpaduan.

“Kalau siasah jadi matlamat dan Islam jadi tunggangan, biarpun kerusi yang diperolehi banyak, tetapi tidak jadi kerajaan kerana tidak ada reda daripada Allah,” kata Timbalan Perdana Menteri kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) itu tanpa menamakan mana-mana parti.

“Biarpun sedikit, tapi kita (UMNO) jadi kerajaan, maka gunakan kedudukan itu bukan untuk menzalimi sesiapa, sebaliknya kita mahu menjaga Islam dengan benar.”

FMT juga melaporkan bahawa Presiden UMNO itu berkata, parti pimpinannya tidak pernah menyalahgunakan ayat al-Quran, ijmak ulama untuk kepentingan politik yang sempit.

“Politik hanyalah alat, matlamat adalah agama. Kalau kita berniat memperkuatkan agama, kalau kita menjaga Allah, dia pasti menjaga kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Liqa’ Perdana Ilmuwan Ahli Sunnah Wal Jamaah bersama Timbalan Perdana Menteri di Putrajaya, malam tadi (17 Februari 2023).

Zahid turut menasihatkan ulama yang terjun ke bidang politik tidak menggunakan ayat al-Quran serta Hadis mengikut selera bagi menyucikan niat tertentu.