NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Perlis ikut langkah Kedah tutup premis judi

PADANG BESAR: Kerajaan PERIKATAN NASIONAL (PN) Perlis bakal mengikuti jejak langkah kerajaan Kelantan, Terengganu dan Kedah menutup premis perjudian.

Menteri Besar Mohd Shukri Ramli berkata, kerajaan negeri dalam proses meneliti pelbagai sudut sebelum mengumumkan perkara tersebut.

“Saya yakin langkah menutup premis judi bukan sahaja memberi manfaat dan kebaikan kepada orang Islam sahaja, malah kepada orang bukan Islam.

“Main judi membuatkan seseorang itu ketagih sama seperti ketagih rokok, dadah, arak dan lain-lain.

“Apabila ketagihan mereka cenderung terlibat dengan jenayah termasuk mencuri, merompak dan boleh menjurus masalah kesihatan mental,” katanya ketika merasmikan Forum Perdana di Majid Jamek Beseri di sini malam tadi.

Forum perdana tersebut dianjur kerajaan negeri Perlis dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis Perlis (MAIPs), Jabatan Mufti dan Masjid Jamek Beseri.

Forum tersebut menampilkan Ahli Panel Syariah Jabatan Mufti Perlis, Ustaz Ahmad Adnan Fadzil; Ahli Jawatan Kuasa Pengurusan Wakaf dan Tebus Pusaka MAIPs, Ustaz Mohd Rizal Azizan dan Peguam Syarie Ahmad Jailani Abd Ghani.

Turut hadir anggota Exco Muhammad Azmir Azizan; Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor dan Pengarah Institut Kemahiran Mara (IKM), Mohd Khairuddin Mohd Asari.

Selepas forum terbabit Menteri Besar kemudian menghadiri Majlis Ramah Mesra di Masjid Nurul Hikmah Wang Bintong, Kangar.

Turut serta Setiausaha Politik Menteri Besar Abdul Hadi Ismail, Setiausaha Akhbar Azreen Jumri dan Pengerusi Masjid Nurul Hikmah, Yusof Rahmat.

Mohd Shukri juga berkata, segala pandangan penduduk berkaitan masjid, pertanian dan bantuan akan diketengah kepada pihak yang bertanggungjawab. 

– HARAKAHDAILY 1/2/2023


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo