NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pengeluaran KWSP, usul tergempar Shahidan ditolak

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) hari ini, mengemukakan usul tergempar meminta Dewan Rakyat membahaskan mengenai permohonan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar.

Beliau mengemukakan usul itu mengikut Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat 18(1), bagi meminta Dewan Rakyat membahas dan menggesa kerajaan segera meluluskan pengeluaran KWSP secara bersasar kepada rakyat yang terdesak.

Katanya, pencarum kini semakin terdesak, terutama dengan kenaikan harga barang dan kos sara hidup.

“Ada yang terpaksa menjual harta dan tinggal sehelai sepinggang. Sudah menjadi tanggungjawab Ahli Parlimen untuk mengotakan janji membantu rakyat.

“Oleh demikian, saya rasa isu ini perlu disegerakan untuk dibincangkan kerana Kerajaan Perpaduan boleh mengambil langkah sama seperti dilakukan sewaktu era pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub sebagai Perdana Menteri, pengeluaran KWSP secara bersasar secara berperingkat,” katanya di Dewan Rakyat.

Shahidan berkata, tuntutan pelbagai pihak yang mahu kerajaan membenarkan pengeluaran KWSP selaras dengan Seksyen 54 Akta KWSP 1991, yang memberi kuasa kepada KWSP membenarkan pengeluaran caruman bagi tujuan pembiayaan kelangsungan hidup.

“Pencarum amat memerlukan wang hasil titik peluh mereka berikutan sesi persekolahan tahun ini akan dibuka pertengahan tahun depan, selain akan menyambut Ramadan dan Aidilfitri tidak lama lagi.

“Berdasarkan laporan KWSP pada Disember tahun lalu, terdapat peningkatan pencarum, majikan dan pencarum aktif. Ini bererti aliran tunai tak jadi masalah,” katanya.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul, membenarkan Shahidan membaca usul tergempar itu di Dewan Rakyat walaupun selepas usul itu ditolak.

Johari memberi kebenaran itu dengan alasan memahami isu yang dibawa Ahli Parlimen Arau itu adalah perkara besar.

Walaupun menolak usul itu untuk dibahaskan, Johari berkata Shahidan boleh membawa semula usul itu ketika perbahasan Bajet 2023 yang dijadualkan bermula Isnin depan. – HARAKAHDAILY 


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo