NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

MyWATCH selar isu logo vape jersi BRM FC


PETALING JAYA – Jersi rasmi Pasukan Bola Sepak BRM FC yang mempunyai logo vape Aladdin Pro telah mencetuskan kemarahan ramai pihak termasuklah Pertubuhan Wanita Malaysia untuk Kawalan Tembakau dan Kesihatan (MyWATCH).

Presiden MyWATCH, Roslizawati Md Ali berkata, beliau memandang serius hal berkenaan susulan pihaknya memperjuangkan masalah merokok dalam negara terutamanya masalah rokok elektronik atau vape.

“Perkara sedemikian tidak sepatutnya berlaku kerana Aladdin Pro adalah syarikat rokok elektronik.

“Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan dan ia bertentangan dengan Artikel 5.3 Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO FCTC),” jelasnya dalam kenyataan hari ini.

Ujarnya, pengaruh gaya hidup tidak sihat yang dipaparkan kepada orang awam sangat membimbangkan pihaknya.

“Pelancaran jersi rasmi pasukan tersebut diadakan di dalam kawasan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) meskipun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melarang sepenuhnya sebarang aktiviti merokok sama ada rokok konvensional mahupun rokok eletronik di kawasan institut pengajian tinggi.

“Pihak penganjur dan Kementerian Belia dan Sukan seharusnya lebih peka terhadap perkara berkenaan serta pengaruh negatif yang disebarkan kepada pelajar,” katanya.

Dalam pada itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati cecair rokok eletronik boleh membahayakan kesihatan dan menyebabkan pelbagai masalah kesihatan terutamanya EVALI (e-Cigarette or Vaping Product Use Associated Lung Injury).

Menurut kajian yang dijalankan oleh KKM, penggunaan rokok elektronik dilihat semakin kritikal di mana keseluruhan pengguna rokok elektronik dalam kalangan remaja berumur 13 hingga 17 tahun meningkat daripada 9.8 peratus (2017) kepada 14.9 peratus (2022).

Roslizawati berkata, pihaknya kecewa dan bimbang akan hal berkenaan dan berharap Rang Undang-Undang (RUU) yang dibentangkan oleh KKM pada tahun lalu dapat segera dilaksanakan.

“RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang telah dibentangkan merupakan suatu kawalan yang komprehensif termasuk larangan kepada generasi yang lahir pada generasi 2007 dan seterusnya.

“RUU ini mesti dibentangkan dan harus diluluskan di Parlimen segera agar aktiviti-aktiviti promosi dan penajaan yang semakin menjolok mata dapat diambil tindakan perundangan,” tegasnya. -KOSMO! ONLINE

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo