Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

KUALA LUMPUR: Pembangkang mendakwa rakyat mula gelisah dengan prestasi kerajaan yang sudah bergelut dengan beberapa masalah walaupun belum sampai 100 hari mentadbir negara.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah pun diselubungi kelemahan, ketidakcekapan dan pencabulan kuasa ketika ini.

"Saya sedar kerajaan pimpinan Yang Amat Berhormat Tambun (Anwar) belum sampai 100 hari memerintah, tetapi sudah banyak persoalan yang ditimbulkan rakyat.

"Satu demi satu kelemahan, ketidakcekapan serta pencabulan kuasa muncul yang menimbulkan kegelisahan dalam kalangan rakyat.

"Kurangkanlah bercakap, buat kerja dan bawa hasil kepada rakyat. Bila kita banyak sangat bercakap, kadang kita lupa yang sebenarnya kita sedang menepuk air di dulang, percikannya terkena muka sendiri," katanya ketika membahaskan usul Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut turut mendakwa kerajaan masih gagal membuktikan kemampuan menyelesaikan segala isu rakyat yang berbangkit, khususnya membabitkan kos sara hidup rakyat, seperti mana yang disuarakan ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Mengambil contoh isu kekurangan telur ayam, Hamzah menyifatkan isu itu masih belum selesai meskipun selepas kerajaan mengimportnya dari India, selain mencetus rasa tidak puas hati rakyat kerana harga telur import lebih mahal sedangkan saiznya lebih kecil berbanding telur tempatan.

"Semasa berkempen dalam PRU15, bukan main berdegar-degar Yang Amat Berhormat Tambun dan beberapa menteri kerajaan hari ini bercakap, kononnya kalau mereka mengambil alih kerajaan, semua masalah selesai.

"Hakikatnya, bukan sahaja masalah telur tidak kunjung selesai, kini harga sayur pula melonjak 160 peratus," katanya.

Sementara itu, Hamzah turut mendakwa konsep MADANI yang dibawa Anwar menimbulkan kekeliruan hingga ada pihak mengaitkannya dengan fahaman pluralisme yang bertentangan dengan Islam.

Dakwanya, ia berikutan Perdana Menteri lebih banyak menggunakan idea pemikir Barat apabila membentangkan konsep MADANI, berbanding memberi fokus pada istilah 'madani' mengikut ajaran Islam yang dihuraikan cendekiawan Islam.

"Dasar MADANI yang hendak dibawa kerajaan perlu jelas supaya tidak timbul kekeliruan dan kekhilafan yang boleh membawa perpecahan dalam kalangan rakyat, terutamanya membabitkan kumpulan ilmuwan dan agamawan.

"Mereka tercium bau-bauan sekularisme, liberalisme dan pluralisme dalam konsep, kerangka serta epistimologi Malaysia MADANI jika banyak mengutip pemikiran Amartya Sen, Pico Mirandola, Ziauddin Sardar dan John Locke itu sendiri.

"Sedangkan, fabrik sosial dalam madani mengikut Islam juga telah dihuraikan dengan panjang lebar oleh Al-Farabi menerusi istilah Al-Madinah Al-Fadilah sebagai reaksi balas kepada pandangan Aristotle, serta Ibnu Khaldun yang mengupas konsep dan epistimologi madani dari sudut ilmu sosiopolitik menerusi kitab al-Muqaddimah.

"Mereka bimbang madani ini selari dengan ucapan Yang Berhormat Tambun (Anwar) bertajuk 'Religion and Pluralism in a Divided World' di London School of Economic (LSE)," katanya.

Sumber | Bharian