Margin kasar Nestle merosot disebabkan kenaikan harga komoditi - Foto Reuters
Margin kasar Nestle merosot disebabkan kenaikan harga komoditi - Foto Reuters

ZURICH: Kumpulan makanan terbesar di dunia, Nestle akan terus menaikkan harga tahun ini, kata Ketua Eksekutif, Mark Schneider hari ini, selepas harga bahan yang lebih mahal menyumbang kepada kegagalan syarikat untuk mencapai jangkaan keuntungan bersih setahun oleh penganalisis.

Beliau enggan mengulas mengenai tahap kenaikan harga seperti dirancang, yang dikatakannya perlu dilakukan untuk mengimbangi 'kerosakan' yang disebabkan oleh peningkatan harga komoditi.

Bagi pengguna, yang kuasa beli mereka sudah pun berkurangan oleh inflasi mencecah paras tertinggi dalam tempoh beberapa dekad, kenaikan itu mungkin akan menambah tekanan terhadap bajet isi rumah yang bertambah terhad dan ekonomi yang semakin lemah.

Pengeluar kopi segera Nescafe dan kepingan coklat KitKat itu menaikkan harga sebanyak 8.2 peratus tahun lalu, namun tidak mengimbangi sepenuhnya kesan kenaikan kos bagi bahan-bahan terhadap margin.

"Margin kasar kami merosot kira-kira 260 mata asas, jumlah itu besar. Ia selepas semua penetapan harga yang kami lakukan pada 2022," kata Schneider kepada pemberita.

"Kami ada beberapa pasaran, seperti AS (Amerika Syarikat) dan UK (United Kingdom), di mana kami melihat inflasi tinggi berterusan, dan pasaran lain seperti China dan di sini di Eropah... di mana inflasi lebih rendah," kata Schneider.

Seluruh industri barangan dibungkus turut menaikkan harga bagi berdepan dengan lonjakan kos bagi hampur semua bahan mentah, selepas pencerobohan Russia ke atas Ukraine menambah lagi impak masalah bekalan berkaitan pandemik.

-Reuters