PUTRAJAYA: Kekosongan jawatan penting dalam pentadbiran awam, terutama Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) dan Ketua Setiausaha Perbendahraan (KSP) wajar diisi segera bagi melicinkan tadbir urus dan pelaksanaan dasar kerajaan.

Presiden Persatuan Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik (Alumni PTD), Tan Sri Abdul Halim Ali, berkata berdasarkan pemerhatian dan pengalamannya, menjadi kebiasaan untuk jawatan penting diisi terlebih dahulu, terutamanya KPPA jika ada kekosongan, tanpa perlu mengambil tempoh yang lama.

"Pada pandangan saya, ia (kekosongan jawatan penting) mungkin memberi kesan tidak beberapa elok kepada perkembangan perkhidmatan awam. Seeloknya jawatan ini diisi segera, tapi janganlah diisi dengan sesiapa sahaja, sebaliknya mestilah pegawai yang berpengalaman, berwibawa dan ada integriti.

"Kalau kita hendak tukar perkhidmatan awam ini kepada sesuatu yang lebih baik, kita perlu ada kualiti kepemimpinan dalam perkhidmatan awam," katanya yang berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN) dalam tempoh 1996 hingga 2001.

Menjelaskan demikian kepada BH, Abdul Halim berkata, sebagai individu yang pernah berkhidmat sebagai KSN, beliau tidak pasti apa langkah Kerajaan Perpaduan selepas lebih dua bulan pembentukan Kabinetnya dalam mengatasi kekosongan berkenaan.

"Buat sementara waktu ini, saya memang tidak pasti apa langkah atau perancangan kerajaan, mungkin perkara ini (pengisian jawatan) dalam pertimbangan mereka, selain (menilai) implikasinya jika melantik individu tertentu. Namun paling mustahak jawatan tetap perlu diisi segera," katanya.

Dalam mencari calon terbaik bagi mengisi kekosongan jawatan itu, beliau juga menggesa kerajaan kekal teguh dalam perjuangan menolak nepotisme, rasuah dan salah guna kuasa.

"Kerajaan sudah berjanji bahawa nepotisme tidak akan ditoleransi, begitu juga pandangan awam yang tentunya akan menolak jika berlaku perkara seumpama ini yang mana nepotisme, malahan korupsi tidak sesuai lagi dalam era moden ini," katanya.

Jawatan KPPA kosong selepas perkhidmatan Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah ditamatkan berkuat kuasa 12 Disember tahun lalu. Ia susulan insiden tular kontroversi di antara beliau dengan pegawai Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 3 Ogos lalu.

Jawatan KSP pula kosong selepas Datuk Seri Asri Hamidon dicutikan sejak 6 Disember lalu dan beliau turut meletak jawatan sebagai Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif Tenaga Nasional Bhd (TNB) berkuat kuasa 5 Januari.

Jawatan Ketua Setiausaha (KSU) yang masih belum diisi sehingga kini membabitkan Kementerian Sumber Manusia (KSM).

Sementara itu, bekas KPPA, Tan Sri Borhan Dollah, berkata jawatan KPPA dan KSP wajar diisi segera kerana isu yang membelenggu individu memegang jawatan terbabit sebelum ini juga sudah diselesaikan oleh kerajaan.

Dalam perkhidmatan awam, katanya, mereka yang memegang jawatan KSN, KPPA dan KSP dianggap 'Three Wise Guys' atau ' Tiga Orang Bijaksana' yang berpengalaman dan dihormati, selain figura penting dalam mesyuarat utama kerajaan.

"Ini jawatan penting dalam kerajaan, macam Perdana Menteri dan juga menteri yang mana kalau kosong, memang perlu diisi segera mungkin. Jadi jangan terlalu lama dibiarkan kosong, bimbang akan merencatkan atau mengganggu tadbir urus kerajaan.

"Kakitangan awam sebagai jentera kerajaan juga akan melihat perkara ini sebagai sesuatu yang 'kurang sihat' kepada kerajaan. Jadi akan timbul persepsi tidak baik kenapa kerajaan masih belum melantik ketua yang menjadi rujukan dan melancarkan arahan dan perkhidmatan awam.

"Mungkin isunya di sini kerajaan tidak melihat perkara itu sebagai keutamaan atau sesuatu yang penting ketika ini, jadi akan timbul persepsi dan macam-macam tanggapan, nepotisme, kronisme, hendak lantik orang tertentu. Dalam keadaan lompang ini, kita bimbang akan ada banyak persepsi bertebaran," katanya.

Beliau juga memaklumkan, ketika dilantik sebagai KPPA dalam pentadbiran kerajaan terdahulu, proses serah tugas dengan bekas KPPA yang menamatkan perkhidmatan, berjalan lancar dalam tempoh sehari sahaja.

Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat pula memohon pertimbangan kerajaan supaya kekosongan jawatan penting dalam pentadbiran awam dapat diisi segera bagi melicinkan operasi dan perkhidmatan.

"Campur tangan politik dalam urusan pelantikan juga harus dielakkan bagi membolehkan mereka yang dilantik kelak benar-benar membantu dan dapat memberi nasihat terbaik kepada Jemaah Menteri.

"Perkhidmatan awam sendiri ketika ini mempunyai pegawai yang berkelayakan dalam pelbagai bidang dan seharusnya diberi peluang mengikut pengalaman serta kompentensi masing-masing. Lantikan dari luar sudah tentu menyebabkan pembangunan kerjaya dalam perkhidmatan awam lebih sempit.

"Unsur-unsur 'favouritism' juga hendaklah dielakkan, terutama dalam hal lantikan jawatan tertinggi kerana ia boleh menjejaskan operasi perkhidmatan awam sekiranya mereka yang dilantik itu tidak kompeten," katanya.