Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin
Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin

ALOR SETAR: UMNO Kedah mengesahkan tiada pimpinan parti di negeri itu yang akan menyertai PKR bagi mengikut jejak bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin, berkata tindakan Zahidi itu dilakukan atas dasar peribadi akibat kecewa dan terdesak.

"Bagi saya Zahidi bertindak atas dasar peribadi, kecewa dan terdesak, jadi ahli boleh menilai dan menghukumnya.

"Sekiranya ada pemimpin atau ahli yang mahu mengikut jejaknya menyertai PKR, saya jangka jumlah itu terlalu kecil termasuk mereka yang menyertai Perikatan Nasional (PN)," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, ramai pemimpin UMNO termasuk kelompok berjawatan tinggi di peringkat nasional yang akan mengikut jejak langkahnya bakal menghantar borang penyertaan PKR pada 4 Februari depan.

Mengulas lanjut, Shaiful Hazizy berkata, beliau berharap seramai 302,377 ahli UMNO di Kedah akan terus yakin dan setia terhadap parti untuk memberi fokus kepada persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Katanya, UMNO Kedah kini masih pada peringkat pemulihan akibat krisis keyakinan, namun pihaknya masih berusaha memberi penjelasan dan hala tuju baharu kepada semua ahli.

"Sebelum ini pun ada, namun ia tidak mengganggu fokus kita untuk membina semula UMNO, kita beri perhatian untuk memperkukuhkan hubungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), pada masa sama merangka hala tuju baharu," katanya.

Shaiful Hazizy berkata, fokus UMNO kini untuk menghadapi PRN dengan matlamat untuk menang.

"Peluang UMNO Kedah adalah baik sekiranya dua perkara ini ditambah baik iaitu perkukuh dan tingkatkan persefahaman bersama rakan politik baharu PH.

"Persefahaman ini bukan saja perlu dibentuk pada peringkat negeri, namun ia harus wujud di setiap struktur.

"Selain itu, pimpinan dan ahli UMNO di negeri ini diingatkan tidak terpengaruh dengan cerita jalanan politik yang tidak berfaedah, sebaiknya beri tumpuan terhadap pengukuhan perpaduan dan persefahaman dalam UMNO sendiri," katanya.