NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Usul tidak tanding 2 jawatan utama Umno boleh dirujuk kepada RoS, kata Ismail Sabri

Ismail Sabri Yaakob berkata, menurut Fasal 10.1 Perlembagaan Umno, mana-mana bahagian yang ingin membawa sesuatu usul hendaklah menyerahkan notis dalam masa 14 hari. – Gambar Facebook Ismail Sabri Yaakob, 14 Januari, 2023.


AHLI Umno yang tidak berpuas hati dengan keputusan Perhimpunan Agung Umno 2022 meluluskan usul supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan tahun ini boleh merujuk perkara itu kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob berkata, mana-mana ahli yang mempunyai kepentingan terhadap parti boleh merujuk kepada RoS sekiranya ingin mengetahui sama ada keputusan yang dibuat perwakilan hari ini sah atau tidak.

Bekas perdana menteri itu berkata, terdapat dua pandangan berbeza mengenai perkara berkenaan iaitu Perhimpunan Agung Umno boleh membuat keputusan terhadap sesuatu usul yang dibawa kerana ia dibenarkan oleh pengerusi perhimpunan.

“Ada juga pandangan menyatakan perhimpunan ini walaupun ia satu yang tertinggi dalam parti, boleh buat keputusan tapi Umno tertakluk kepada Perlembagaan parti iaitu Fasal 8.1 yang menyatakan daripada segi jawatan hendaklah dibuat secara pemilihan tiga tahun sekali atau selepas ditangguhkan,” katanya pada sidang media selepas penangguhan Perhimpunan Agung Umno 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, menurut Fasal 10.1 Perlembagaan Umno, mana-mana bahagian yang ingin membawa sesuatu usul hendaklah menyerahkan notis dalam masa 14 hari, manakala tujuh hari sekiranya dibawa oleh Ahli Majlis Tertinggi.

Beliau berkata, sebaliknya usul tambahan supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dicabar hanya dikemukakan semalam selepas ucapan dasar presiden Ahmad Zahid Hamidi.

Ditanya jika keputusan hari ini meyakinkan rakyat terhadap Umno terutama menjelang enam Pilihan Raya Negeri (PRN), Ismail Sabri berkata ia sebenarnya membimbangkan terutama dalam usaha menarik golongan muda.

“Dalam perbahasan kita cakap soal nak balikkan kepercayaan orang muda kerana mereka bercakap mengenai demokrasi, hak asasi dan idealisme, tapi ini (tidak mempertandingkan dua jawatan) akan mengurangkan kepercayaan serta keterbukaan mereka menyertai kita, menjauhkan lagi mereka daripada kita (Umno),” katanya.

Terdahulu, majoriti perwakilan yang hadir pada perhimpunan itu menyatakan sokongan terhadap usul tambahan dicadangkan perwakilan dari Negeri Sembilan Mohd Shukri Samsudin, semalam supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan Umno akan datang.

Sementara itu, Ahmad Zahid dalam sidang media berlainan menyatakan usul itu sah mengikut perkara serta fasal dalam perlembagaan parti dan muktamad. – Bernama, 14 Januari, 2023.



........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo