NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Undi tiada pertandingan akan ‘makan diri’ Umno, kata penganalisis

Dua penganalisis politik berkata masa depan Umno akan lebih buruk selepas keputusan perwakilan yang menghalang dua jawatan tertinggi parti dipertandingkan.


PETALING JAYA: Keputusan Umno menghalang dua jawatan tertinggi parti dipertandingkan akan menambahkan lagi persengketaan antara dua kem dalam parti itu, kata seorang penganalisis politik.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, perwakilan pada Perhimpunan Agung Umno diberi peluang sebelum pengundian lagi untuk menghapuskan atau meminimumkan ancaman daripada dua pihak bertelagah itu.

“Oleh kerana usul tiada pertandingan diluluskan, saya berpendapat perpecahan antara kedua-dua kem itu akan lebih luas,” katanya kepada FMT.

Ahli Umno turut berbeza pendapat mengenai pertandingan dua jawatan tertinggi itu, ada berpandangan ia berisiko menyebabkan parti berpecah-belah manakala sebahagian lagi berkata ia akan membolehkan presiden Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya Mohamad Hasan membuktikan mereka mempunyai sokongan akar umbi.

Azmi berkata, Zahid tidak sepatutnya membiarkan keputusan itu dibuat oleh perwakilan. Sebaliknya, Zahid perlu berkata beliau menerima cabaran itu.

Hanya tinggal dua atau tiga bulan sebelum pilihan raya negeri (PRN) dan Umno akan menjadi berpecah-belah serta lemah, kata Azmi, kerana kem satu lagi akan menguar-uarkan kepada orang ramai bahawa Zahid dan Mohamad adalah punca utama kekalahan terburuk parti itu pada pilihan raya umum lalu.

Felo Majlis Profesor Negara, Jeniri Amir, berkata keputusan tiada pertandingan dua jawatan tertinggi itu menjadi petanda buruk kepada masa depan Umno.

“Pertandingan itu penting untuk meremajakan parti dan juga untuk menjadikan Umno terus relevan dalam landskap politik negara ketika ini dan masa depan,” katanya.

Katanya, keputusan perwakilan untuk menghalang pertandingan adalah satu “langkah ke belakang” dan akan membentuk pandangan negatif orang ramai.

“Perwakilan Umno mungkin mengundi untuk menyokong usul itu tetapi ia kemungkinan tidak mencerminkan sentimen di akar umbi. Ramai orang luar mahu melihat perubahan,” katanya.

Usul itu dicadangkan semalam bagi memastikan Zahid dan Mohamad tidak dicabar dalam pemilihan Umno akan datang, yang mesti diadakan sebelum 19 Mei ini.

Usul itu diluluskan menerusi undian suara.


Sumber I FMT Malaysia 





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo