NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Suami isteri dituduh salah guna kuasa, pecah amanah syarikat sendiri

SHAH ALAM: Walaupun dimiliki sendiri, sepasang suami isteri tidak terlepas daripada pertuduhan menyalahgunakan harta dan pecah amanah terhadap syarikat mereka apabila dituduh di Mahkamah Sesyen, hari ini.

Tertuduh, Tan Ching Peng, 60, dan isterinya Tan Siew Moi, 57, masing-masing dituduh atas enam dan 18 pertuduhan salah guna kuasa dan pecah amanah terhadap syarikat mereka sendiri, Rekabina Construction Sdn. Bhd. berjumlah keseluruhan RM602,000.

Bagaimanapun, pasangan yang mempunyai tiga cahaya mata itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Dalam penfailan pertama di awal prosiding, mereka berdua dituduh secara bersama atas tiga pertuduhan apabila dengan tidak jujur menyalahgunakan harta atas nama Ching Peng sebagai Ketua Operasi iaitu wang berjumlah RM220,000 daripada akaun bank milik syarikat.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan dekat sebuah bank dekat Kota Kemuning di sini pada 21 Disember 2020 hingga 30 September 2021 dan dituduh di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan (KK).

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 34 akta sama iaitu penjara sehingga lima tahun, denda dan sebatan.

Mereka berdua juga berdepan tiga pertuduhan pilihan iaitu pecah amanah yang dituduh di bawah Seksyen 405 KK yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 34 kanun sama iaitu penjara sehingga 10 tahun, denda dan sebatan.

Sementara dalam penfailan kedua pada prosiding sama, Siew Moi pula secara bersendirian berdepan enam pertuduhan utama apabila didakwa dengan tidak jujur menyalahgunakan harta untuk diri sendiri, iaitu wang berjumlah RM382,000 daripada akaun bank milik syarikatnya itu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut ketika menjadi Pengarah syarikat berkenaan dekat cawangan bank yang sama pada 3 Disember 2020 hingga 8 Oktober 2021 dan dituduh di bawah Seksyen 403 KK.

Jika sabit kesalahan, Siew Moi boleh dikenakan hukuman bagi setiap pertuduhan di bawah seksyen dan kanun sama iaitu penjara sehingga lima tahun, denda serta sebatan.

Dia juga berdepan enam pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 405 KK iaitu pecah amanah dan jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 406 kanun sama iaitu penjara sehingga 10 tahun, denda dan sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya, Muaz Ahmad Khairudin kemudian menawarkan jaminan kepada kedua-dua pasangan itu sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan berserta syarat tambahan iaitu lapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berdekatan dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Peguam mewakili kedua-dua tertuduh, Asmadi Hussin bagaimanapun, memohon jaminan dibenarkan pada kadar paling minimum memandangkan Ching Peng dan Siew Moi turut dituduh di Mahkamah Sesyen berasingan sebelum ini menerusi siasatan daripada pihak polis atas pertuduhan salah guna kuasa dan pecah amanah.

Menurutnya, mereka berdua yang masih memegang jawatan tersebut dibenarkan diikat jamin oleh mahkamah sebanyak RM15,000 setiap seorang dan diberitahu sudah pun menyerahkan pasport antarabangsanya.

Rozilah kemudian membenarkan Ching Peng dan Siew Moi dibenarkan diikat jamin dengan seorang penjamin setiap seorang masing-masing sebanyak RM50,000 dan RM60,000 dan melarang anak sulung mereka yang mempunyai kedudukan dalam syarikat Rekabina Construction menjadi penjamin.

Hakim turut membenarkan syarat tambahan iaitu lapor diri di pejabat SPRM terdekat dan menetapkan sebutan semula kes pada 16 Februari depan. – UTUSAN


Komen : Pecah amanah atas Syarikat sendiri pun boleh didakwa, apatah lagi, jelas² guna Wang Yayasan utk urusan peribadi. Eh mcm pernah dengar? Tapi kat mana ya?

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo