NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Singapura unjur pelancongan pulih sepenuhnya menjelang 2024



SINGAPURA: Ketibaan antarabangsa Singapura mengatasi ramalan pada 2022, sekali gus membuka ruang kepada sektor pelancongan di negara itu kembali pulih seperti sebelum pandemik COVID-19 menjelang 2024, kata pihak berkuasa pelancongannya hari ini. 

Negara itu menyaksikan ketibaan 6.7 juta pelancong tahun lalu, melebihi unjuran Lembaga Pelancongan Singapura (STB) iaitu sekitar empat hingga enam juta, dengan pendapatan daripada perbelanjaan dianggarkan mencecah SGD$13.8 bilion (RM46.8 bilion).

Pengarah Komunikasi STB, Terence Voon, berkata jumlah itu berjaya dicapai walaupun Singapura melaksanakan kuarantin pada suku pertama 2022, menunjukkan bahawa terdapat permintaan yang tinggi untuk melawat Singapura. 

Dalam pada itu, faktor seperti kapasiti penerbangan dan sekatan sempadan yang diperbaharui mampu memulihkan sektor pelancongan, kata Ketua Eksekutif STB, Keith Tan.

Menurut STB, sektor pelancongan menyumbang sekitar empat peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setiap tahun.

Pada 2019, hab pelancongan serantau itu menyaksikan rekod 19.1 juta pelancong dengan pendapatan SGD$27.7 bilion (RM90.6 bilion).

Berikutan pengumuman pembukaan sempadan China, negara di Asia Tenggara itu menjangkakan antara 12 hingga 14 juta pelancong akan tiba dengan menjana pendapatan SGD$21 bilion (RM68.7 bilion) tahun ini. 

Sebelum penularan COVID-19, 3.6 juta pelancong China tiba di Singapura pada 2019, menjadikannya penyumbang terbesar kepada pelancongan di negara itu.

Disebabkan pelaksanaan sekatan perjalanan yang ketat, tempat China diambil alih oleh Indonesia, India, Malaysia, Australia dan Filipina. 

Setakat Januari ini, terdapat 38 penerbangan secara mingguan dari Singapura ke China iaitu kira-kira 10 peratus kapasiti sebelum pandemik. 

Menteri Pengangkutan Singapura, di Parlimen pada minggu lalu berkata, syarikat penerbangan sudah memohon untuk menambah kekerapan penerbangan dari kedua-dua negara, dan pihak berkuasa akan menilai serta meluluskannya secara berperingkat. - AGENSI





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo