NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Serba Dinamik fail rayuan atas perintah penggulungan

Mahkamh Tinggi membenarkan satu petisyen yang difailkan enam institusi kewangan untuk menggulung SDHB dan subsidiarinya SDIL, Serba Dinamik Group Berhad (SDGB) dan Serba Dinamik Sdn Bhd (SDSB).
KUALA LUMPUR: Lembaga Pengarah (BOD) Serba Dinamik Holdings Berhad (SDHB) hari ini memfailkan rayuan ke atas keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan penggulungan syarikat itu dan tiga anak syarikatnya.

Dalam satu kenyataan, SDHB berkata ia juga memfailkan rayuan ke atas keputusan Mahkamah Tinggi semalam yang tidak membenarkan permohonan syarikat itu untuk menangguhkan pendengaran penggulungan itu.

BOD ingin memaklumkan selanjutnya bahawa anak syarikat milik penuhnya , Serba Dinamik International Ltd (SDIL) akan memohon bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi untuk menggulung SDIL.

BOD telah menerima nasihat bahawa perintah untuk menggulung SDIL adalah ultra vires,” kata syarikat itu.

Sementara itu, SDHB berkata BOD telah mengarahkan peguamnya untuk memfailkan permohonan bagi menangguhkan perintah penggulungan syarikat itu dalam memastikan operasi perniagaannya terus berjalan sementara menunggu keputusan Mahkamah Rayuan.

“Lembaga Pengarah juga mengarahkan peguam memfailkan permohonan bagi menangguhkan penggulungan SDIL sementara pendengaran permohonan untuk mengetepikan perintah penggulungan ke atas SDIL,” kata syarikat itu.

Menurut SDHB, BOD ingin memaklumkan bahawa syarikat itu telah memfailkan permohonan untuk mendapatkan penangguhan pendengaran petisyen penggulungan itu di Mahkamah Tinggi semalam dengan antara faktornya ialah syarikat itu telah dimaklumkan bahawa Syarikat Bersekutu kumpulan itu sedang melakukan persiapan untuk menjual kepentingannya atau aset di dalam Syarikat Bersekutu itu dengan anggaran hasil bersih USD700 juta.

Syarikat itu berkata, hasil daripada penjualan saham SDIL boleh digunakan untuk membayar hutang kumpulan itu.

“Terdapat rundingan aktif dengan prospek cadangan penjualan itu. BOD SDHB berpendirian bahawa penangguhan pendengaran itu akan membenarkan pihak-pihak termasuk Pelikuidasi Interim (IL) untuk mempertimbangkan cadangan penjualan itu.

“Pihak Lembaga Pengarah berharap jualan aset syarikat dan kumpulannya secara teratur akan memaksimumkan pulangan kepada pemiutang kumpulan itu.

“Sebagaimana dimaklumkan sebelum ini, pihak lembaga pengarah akan melaksanakan kuasa yang tinggal untuk merayu terhadap keengganan Mahkamah Tinggi untuk menangguhkan pendengaran,” katanya.

Semalam, Pesuruhjaya Kehakiman Ahmad Murad Abdul Aziz membenarkan satu petisyen yang difailkan enam institusi kewangan untuk menggulung SDHB dan subsidiarinya SDIL, Serba Dinamik Group Berhad (SDGB) dan Serba Dinamik Sdn Bhd (SDSB).

Enam institusi kewangan selaku pempetisyen saman itu adalah Standard Chartered Saadiq Berhad, HSBC Amanah Malaysia Berhad, AmBank Islamic Berhad, MIDF Amanah Investment Bank Berhad, United Overseas Bank (Malaysia) Bhd dan Bank Islam Malaysia Berhad.Empat syarikat itu dikatakan mempunyai hutang berjumlah hampir RM5 bilion.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo