Tommy-Memoir-Books-681x545
Buku My Story: Justice in the Wilderness’. yang ditulis oleh Tommy Thomas.

KUALA LUMPUR – Jemaah Menteri bersetuju menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi meneliti secara menyeluruh Laporan Pasukan Petugas Khas Siasatan ke atas Dakwaan Dalam Buku Bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’.

Penubuhan RCI itu selaras Akta Suruhanjaya Siasatan 1950, mengikut bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ia diputuskan selepas meneliti syor-syor dicadangkan Pasukan Petugas Khas dipengerusikan Datuk Seri Fong Joo Chung dalam laporan yang dibentangkan pada Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

Menurut beliau, penubuhan RCI itu bertujuan mencari kebenaran serta mengemuka syor kepada kerajaan bagi reformasi institusi perundangan, bukannya untuk mencari kesalahan mana-mana pihak.

”Laporan pasukan berkenaan dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini dan setelah meneliti syor dicadangkan Pasukan Petugas Khas yang dipengerusikan Datuk Seri Fong Joo Chung dalam laporannya, Kabinet bersetuju antara lain, mengenai cadangan penubuhan RCI bagi meneliti perkara ini secara holistik.

”Kerajaan memandang serius terhadap dakwaan membabitkan pelanggaran tanggungjawab profesional suatu jawatan tertinggi. Ini kerana ketelusan dan akauntabiliti adalah asas kepercayaan rakyat terhadap sistem pentadbiran keadilan dan institusi kerajaan.

My Story: Justice in the Wilderness’, ditulis oleh bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas dan diterbitkan pada Januari 2021.

Kandungannya yang penuh dengan kontroversi menyebabkan Kabinet menubuhkan Pasukan Petugas Khas untuk menjalankan kajian awalan berhubung pendedahan yang terkandung dalam buku itu pada Oktober tahun sama.

Pasukan Petugas Khas berkenaan juga mengesyorkan Tommy siasat mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan (membocorkan maklumat) dan Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972.