NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Rayuan Tajuddin ditolak, penggantungan berkuatkuasa serta merta - Isham

KUALA LUMPUR: Rayuan bekas ketua Umno bahagian Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman berhubung tindakan penggantungan keahliannya sebelum ini ditolak Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

Ketua Penerangan Umno Isham Jalil, berkata permohonan Tajuddin itu bersandarkan kepada keputusan Lembaga Disiplin parti sebelum ini.

“Rayuan daripada Tajuddin hari tu dia digantung, rayuan dia telah ditolak. Penggantungannya dikuatkuasakan hari ini.

“Alasan-alasan disiplin (kerana penggantungan) seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Umno,” kata nya yang ditemui pemberita selepas menghadiri mesyuarat MKT Umno di Menara Dato’ Onn hari ini.

Sebelum ini, keahlian Tajuddin digantung selama enam tahun pada Oktober tahun lalu namun beliau memperlekehkan keputusan itu dengan mendakwa ia bukan “hukuman mati”.

Keputusan tersebut dibuat selepas beliau dilihat secara terbuka mengkritik Umno berikutan penyingkirannya sebagai ahli MKT pada Jun 2022.

Beliau juga menggesa Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan selepas penyingkirannya.

Isham turut memaklumkan bahawa Umno bahagian Arau juga telah digantung atas faktor disiplin.

Katanya, satu ketua pentadbir akan dilantik bagi bahagian berkenaan.

Isham turut memaklumkan Ahli Jawatankuasa Umno Arau hanya boleh hadir ke Perhimpunan Agung Umno yang akan datang sebagai pemerhati.

Pada Nov lalu, Umno menggantung sementara dua ketua wanita bahagian, masing-masing dari Arau dan Maran, kerana didakwa menyokong calon yang menentang parti itu pada pilihan raya PRU15.

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan dilaporkan berkata penggantungan Ketua Wanita Umno Arau, Shamsiah Yasin, dan Ketua Wanita Umno Maran, Fatimah Kassim, dibuat mengikut Fasal 10.15 Perlembagaan Umno.

Umno turut memecat tiga bekas Ahli Parlimen mereka termasuk Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim, bekas Ahli Parlimen Padang Besar Zahidi Zainul Abidin dan bekas Ahli Parlimen Maran Ismail Abd Muttalib kerana bertanding menentang parti itu pada PRU15.




........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo