NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pengerusi PH atau Pengerusi SPR ni? Chow kata jimat kos dan tak buang masa rakyat, PRN 6 negeri perlu serentak

Pengerusi PH Pulau Pinang Chow Kon Yeow, berkata jika pilihan raya negeri diadakan serentak lebih menjimatkan kos serta masa rakyat. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang mencadangkan pilihan raya di enam negeri wajar dijalankan serentak sama ada pada Mei, Jun atau Julai.

Pengerusinya, Chow Kon Yeow, berkata tindakan itu demi menjimatkan kos dan masa rakyat.

“Kita telah menyuarakan beberapa kali dan tetap berpegang bahawa PRN sesuai diadakan antara Mei, Jun atau Julai.

“Kita juga lebih suka sekiranya semua negeri mengadakan PRN serentak, jika tidak lebih banyak wang akan digunakan dan ini bermakna kos untuk PRN akan lebih tinggi,” katanya menurut Kosmo.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan Presiden PAS Abdul Hadi Awang bahawa parti itu akan membuat keputusan sendiri mengenai tarikh pembubaran DUN di Kedah, Kelantan, dan Terengganu.

Semalam, Hadi berkata, Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor; Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob; dan Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar, akan bermesyuarat bagi menetapkan tarikh berkenaan.

“Kita akan ada keputusan tersendiri,” katanya kepada Bernama.

Beliau juga berkata, PAS tidak akan membuat keputusan berhubung pembubaran DUN bersama PH.

“Sama ada mereka (PH) nak ikut atau tidak, itu terpulang. Selama ini pun, mereka banyak mengikut kita. Sebelum ini, kita buat kenyataan tidak mahu ikut membubarkan Parlimen, mereka ikut juga,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika ditemui pemberita pada majlis di Cherok Tok Kun, Pulau Pinang, berkata mengingatkan PRN berasingan tentunya akan menyebabkan kos meningkat.

Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan negeri berhak menentukan tarikh pembubaran DUN masing-masing.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo