NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pendekatan luar biasa diperlukan jika mahu raih emas Olimpik

Pekan berkata kita tidak boleh bergantung kepada atlet dan sukan yang sama untuk meraih emas di Olimpik.


KUALA LUMPUR: Pemburuan pingat emas pertama negara di Sukan Olimpik Paris 2024 seperti yang diimpikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh kemungkinan belum boleh dicapai.

Namun pada waktu sama, Malaysia harus membuat satu anjakan baharu bagi meramaikan lagi bakat yang mampu menyumbang pingat di temasya terbesar dunia itu. 

Bukan untuk menafikan usaha yang sudah dijalankan sejak sekian lama tetapi bagi pemerhati sukan, Datuk Dr Pekan Ramli, negara hanya menggunakan pendekatan sama - menyandarkan kepada beberapa jenis sukan dan atlet sama untuk meraih emas sulung negara.

Pekan berkata, beliau tidak dapat melihat satu usaha yang luar biasa ataupun yang lebih progresif dilakukan dalam usaha mencapai emas pertama diidamkan memandangkan taruhan utama seperti pemenang perak di Olimpik Tokyo 2020, Datuk Azizulhasni Awang pun masih dalam proses sembuh daripada pembedahan dan makin berusia. 

"Saya berpandangan masih belum (untuk raih emas di Paris). Saya rasa lebih baik kita merancang untuk satu atau tiga kitaran Olimpik lagi untuk kita kenal pasti atlet mana dan dapatkan lebih ramai material untuk memasuki Olimpik. 

"Kita tak boleh bergantung kepada satu dua saja, harapan kita untuk setiap kali Olimpik itu sajalah... sukan yang sama dan atlet yang sama, malah pendekatan digunakan juga sama saja. 

"Kita perlu ada pendekatan berbeza dan sangat komprehensif. Atlet pula, kita tak boleh letakkan hanya satu... kalau kita pergi ke mana-mana kejohanan, letak satu (sandaran), habislah (sasaran) sekiranya atlet itu mengalami sakit atau sebarang masalah. 

"Seperti Datuk Azizulhasni, sekiranya beliau tak dapat prestasi sebenarnya (di Olimpik Paris) bagaimana dan kita pun tak tahu keupayaan pesaing yang lain. 

"Bukan saya berpandangan negatif, cuma ada perkara yang sepatutnya perlu kita lihat. Bagi saya, lebih banyak kita mempunyai material, kita lagi berpeluang cerah (meraih emas). Namun kalau material kita masih daripada sukan sama, atlet sama, pendekatan sama, saya rasa agak sukar," kata Pekan. 

Semalam, Hannah menegaskan meraih emas di Sukan Olimpik Paris menjadi satu kemestian buat Malaysia. 

Justeru, Hannah mahu semua pihak berkepentingan dalam arena sukan negara memfokuskan tumpuan bermula tahun baharu 2023 dalam memastikan 'Road to Gold' mencapai sasaran.

Pekan berkata, Malaysia harus merencana satu anjakan baharu yang mampu menjelmakan lebih ramai taruhan untuk diketengahkan di Olimpik. 

"Kita kena cari seberapa banyak (bakat taruhan) yang kena dibangunkan. Tahun 2024 kita boleh kata yang kita nak cari emas pertama tetapi ia bukan perkara yang mungkin dapat direalisasikan. 

"Jadi kita perlu lihat ke depan dengan material yang ada, dapatkan seberapa banyak material yang ada dan memperbesarkan 'scoop' harapan kepada jenis sukan dan ketiganya, pendekatan bentuk program harus berubah. 

"Ini khususnya (program) jangka pendek dan jangka panjang. Siapa yang berada berada dalam program jangka pendek untuk emas dan siapa pula yang diletak dalam program emas jangka panjang. 

"Selepas itu, baru digerakkan jalan kerjanya, kaedah latihan untuk atlet dan apa yang perlu dilakukan untuk capai emas pada masa berkenaan. Dengan ada pendekatan seperti ini, baru usaha itu nampak jelas," katanya.


Sumber I BH Online



........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo