NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PAS akan jumpa pemimpin PH di 3 negeri, bincang tarikh PRN

Ahmad Samsuri Mokhtar berkata PRN di enam negeri perlu diadakan serentak bagi menjimatkan pengurusan, termasuk peruntukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan memudahkan rakyat.

PETALING JAYA: PAS akan mengadakan perbincangan dengan pemimpin di tiga negeri yang diterajui Pakatan Harapan (PH) bagi menetapkan tarikh pilihan raya negeri (PRN) dapat diadakan serentak dengan Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Naib presidennya Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perbincangan diadakan minggu depan adalah yang kedua selepas kali pertama diadakan secara tidak rasmi akhir tahun lalu namun belum ada keputusan dibuat hasil pertemuan itu.

Menteri besar Terengganu itu berkata, setakat ini PAS belum memuktamadkan tarikh PRN sehinggalah dimuktamad selepas pertemuan tiga pemimpin Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor.

“Kita berpendapat PRN di enam negeri perlu diadakan serentak bagi menjimatkan pengurusan, termasuk peruntukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan memudahkan rakyat.

“Namun keputusan sama ada PRN akan diadakan serentak di enam negeri atau tidak bergantung kepada hasil perbincangan dengan tiga negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan,” katanya menurut Berita Harian.

Baru-baru ini, Presiden PAS Abdul Hadi Awang memaklumkan parti itu akan menentukan sendiri tarikh bersesuaian untuk membubarkan DUN bagi memberi laluan kepada PRN di tiga negeri ditadbir parti itu iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Beliau juga berkata, terpulang kepada PH untuk menentukan pembubaran DUN di Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor sama ada akan dilakukan serentak dengan tiga negeri ditadbir PAS atau sebaliknya.

Semalam, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow pula berkata, PH lebih suka mengadakan PRN antara Mei, Jun dan Julai.

Enam negeri tersebut belum mengadakan PRN selepas tidak membubarkan DUN ketika PRU lalu. Hanya Perlis, Perak dan Pahang yang membubarkan DUN serentak dengan Parlimen.

Negeri lain seperti Johor, Melaka, Sabah dan Sarawak pula tidak perlu membubarkan DUN kerana baharu sahaja mengadakan PRN.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo