NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pahang catat satu kes scammer dalam talian setiap hari

KUANTAN – Dalam sehari secara purata sekurang-kurangnya seorang individu menjadi mangsa penipuan atas talian yang direkodkan di Pahang.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, berdasarkan rekod jumlah mangsa penipuan atas talian pada tahun lalu mencecah 10,786 kes.

“Kes jenayah komersil akan menunjukkan trend peningkatan apabila lebih ramai yang menggunakan kemudahan internet dan atas talian untuk transaksi kewangan secara atas talian.

“Pelaku jenayah turut mengambil kesempatan penggunaan peranti komunikasi sama ada komputer atau telefon pintar untuk melakukan jenayah tipu yang dikategorikan dalam pelbagai bentuk seperti e-belian, macau scam, pinjaman tidak wujud, love scam, pelaburan, tipu tawaran kerja dan tipu penyamaran,” katanya dalam satu sidang akhbar majlis penyerahan kad prestasi kes-kes jenayah dan pencegahan Ibu Pejabat polis Kontinjen (IPK) Pahang bagi tahun 2022 bertempat di bilik media IPK Pahang, hari ini.

Menurut Ramli, daripada jumlah kes yang direkodkan, sebanyak 2,052 kertas siasatan telah dibuka dengan mencatat kerugian sebanyak RM53,025,327.84.

Jelasnya, daripada jumlah itu juga, sebanyak 993 kertas siasatan telah dituduh dengan kadar peratusan 48.4 peratus

“Penyumbang utama kesalahan kes jenayah komersil bagi tahun 2022 adalah kesalahan tipu dalam talian yang mencatat 1,694 kes dengan jumlah kerugian RM34,726,275.41.

“Mangsa yang bekerja dalam sektor pendidikan dan peniaga mencatat jumlah paling tinggi iaitu masing-masing 111 dan 196 kes dengan kebanyakannya adalah wanita berusia lingkungan 17 hingga 40 tahun,” katanya

Dalam pada itu Ramli berkata, JSJK telah berjaya mencapai sasaran tangkapan tahunan bagi kes jenayah siber pada tahun lalu dengan 543 tangkapan bersamaan 133 peratus iaitu melebihi jumlah sasaran 408 tangkapan.

“Begitu juga dengan lain-lain kes komersil iaitu sebanyak 726 tangkapan bersamaan 137.5 peratus dibuat melebihi jumlah sasaran iaitu 528 tangkapan ditetapkan,” katanya.  – KOSMO! ONLINE


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo