NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Dr Abdul Rani Osman, mantan Adun Meru meninggal dunia


KUALA LUMPUR: Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Rani Osman, 65, kembali ke rahmatullah, hari ini.

Sementara itu, Pemuda PAS negeri merakamkan ucapan takziah dan dukacita di atas pemergian Almarhum.

“Moga keluarga dan sahabat handai seperjuangan tabah dan sabar di atas pemergian insan tercinta,” ujar ketuanya, Mohamed Sukri Omar.

Dr Rani yang berkelulusan M.B.CH.B daripada Tanta Universiti, Mesir telah memenangi Pilihan Raya Umum 2008 dan 2013 bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru

###£####

Perginya seorang sahabat dan insan hebat, Dr Ab Rani Osman, Mantan Yb Meru. Seorang yang sentiasa berbakti kpd masyarakat, banyak bergaul dan sentiasa ceria. Beliau adalah seorang sahabat saya yang paling rapat. Beliau meninggal selepas mengambil wudhu utk solat tahajjud pagi ini. Perginya memperingatkan kita tentang hakikat kematian dan keperluan persiapan yg bersungguh-sungguh. 

Ų§Ł†Ų§ Ł„Ł„Ł‡ ŁˆŲ§Ł†Ų§ Ų§Ł„ŁŠŁ‡ Ų±Ų§Ų¬Ų¹ŁˆŁ†. Ų§Ł„Ł„Ł‡Ł… Ų§ŲŗŁŲ± Ł„Ł‡ ŁˆŲ§Ų±Ų­Ł…Ł‡ً

####£####

DR RANI OSMAN : SANG PERAWAT BERHATI EMAS, SAHABAT KAMI SELAMANYA

Oleh: Dr. Riduan Mohamad Nor
   
Lebih kurang jam 6.55 pagi tadi aku menerima paparan mesej " Dr Rani Osman mantan PJ Selangor,,telah kembali kerahmatullah sebentar tadi", aku terus bangun daripada pembaringan ,memisat mata separuh sepetku dalam keadaan mamai dan kesayuan . Terus mengambil gajet dan memeriksa semua mesej-mesej pada skrin gajet. Khabar duka dengan pantas menyebar kerana sosok ini sangat berjasa kepada jamaah dan juga ummah.

 Aku menghela nafas panjang , kali terakhir bertemu dengannya dalam program assabiqun PAS Pusat di KUIZM Taman Melewar beberapa bulan lalu. Kami berpelukan erat, mengambil foto kenangan dan aku merasakan kesihatannya merosot berdasarkan posturnya yang susut berbanding sedekad yang lalu. Lebih suku abad kami rapat dan bersahabat, selang beberapa minggu lepas aku masih menerima titipan nasihat lewat aplikasi wasap. Mengingatkan aku agar membaca surah al kahfi , bertanya khabar dan sebagainya. 

Nama Almarhum sangat besar dalam dunia kesukarelawan, beliau aktivis Yayasan Amal Malaysia, berlanglangbuana merata ceruk membantu ummat Islam. Saat dalam misi di Lubnan pada tahun 2006, bangunan penginapan Dr Rani digegar dengan letupan bom. Peristiwa ngeri itu tak membunuh minatnya dalam bermisi , menggelekek ketawa apabila bercerita betapa terkejutnya mendengar letupan bom di kota Beirut , kota cinta yang rusuh akibat serangan Israel.

 Aku bersama almarhum ke misi bantuan kemanusiaan di Bantul, Jodjakarta. Gempa bumi yang mengorbankan enam ribu jiwa itu sangat menyedihkan, kami menyaksikan kemusnahan desa Kaliurang dan sekitarnya. Dia anak Jawa yang mendapat pendidikan tinggi di Fakulti Perubatan  Mesir, jiwanya sebagai pendakwah dan memberikan kehidupannya untuk jalan dakwah yang dicintainya.

Semasa menjadi ADUN Meru ramai yang telah diislamkan oleh beliau, menggunakan khidmat perubatan percuma,masuk ke ladang-ladang menabur bakti. " core bussines kita adalah sebagai pendakwah, ini tugas utama kita...yang guru,doktor,jurutera adalah tugas kedua.ini yang ana belajar daripada ikhwah- ikhwah Ikhwanul Muslimin di Mesir..ana pegang sampai mati prinsip ini"  pesan almarhum Dr Rani. Dia mengotakan prinsip ini ,sebab itu tidak berkira dengan masa dan wang ringgit demi dakwah dan perjuangan. Melalui Yayasan Amal beliau menabur bakti di Kashmir, Pakistan, Filipina , Indonesia serta banyak lagi peta luka ummat Islam.

Aku selalu dijemput ke Kapar untuk berceramah dan berkuliah semasa almarhum menjadi YDP kawasan Kapar dan juga ADUN Meru. Kadang ,rumahnya menjadi tempat berkumpul sahabat-sahabat dalam program persiapan fikrah. Usai berprogram, menjamu selera merimbun ukhuwwah antara amilin. Dia akan bercerita , kita akan menyeringai ketawa. Tawa canda ini akan terus menjadi kenangan kolektif kami, juga kerja kebajikannya tak pernah berhenti walau tak lagi menjadi anggota legislatif. Almarhum adalah contoh keteladanan aktivis tulen!. Sentiasa berziarah, menyantuni insan lain, setiap hari bersedekah dan memenuhi masa hidupnya dengan program amal Islami.

Persahabatan kami seperti adik beradik, sama menumpang kasih diatas dunia yang fana ini. Bulan lepas , dia meminta nombor akaun peribadiku, ohh dia menitipkan kiriman wang sebanyak 1500 ringgit, hadiah katanya dan dia tak pernah berdiam melihat kawan-kawan diuji . Aku terbaring diatas katil sakit pasca pembedahan usus akibat long kovid. Membaca kembali kiriman wasap personalnya,mataku berkaca dan hati menjadi basah. Awal pagi hari ini dia kembali  kepangkuan Ilahi saat qiam, sedang solat tahajjud. Insan soleh , pemburu pahala, pentaksub amal kebajikan dan selayaknya dia pulang ke negeri abadi dalam keadaan merindui Tuhannya!.

Terasa sayu dan kehilangan, banyak mozek-mozek kehidupan aku bercantum dengan kehidupan almarhum dalam mengisi masa muda dan aktiviti kepemudaan suatu masa dahulu,  aktiviti membantu insan lain, berlanglangbuana ke merata tempat, rakan bergaduh dan bergurau senda, abang dan adik dalam perjuangan .

Damailah sahabat, kekandaku Dr Rani Osman, mantan ADUN Meru, mantan Pesuruhjaya PAS Selangor dan relawan YAM. Kami semua menyaksikan dedikasi dan kesungguhanmu berjuang, mengayomi rakyat  dan berdakwah tanpa lelah sehingga nafas terakhir. kami juga akan menyusulmu wahai sang perawat berhati emas.

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo