NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Didakwa jadi orang tengah seleweng RM92.5 bilion: CEO syarikat ditahan reman

PUTRAJAYA – Seorang ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat swasta direman lima hari berhubung isu penyelewengan perbelanjaan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi pada 2020 hingga 2022.

Menurut sumber, perintah reman sehingga 10 Januari itu diperoleh selepas suspek berusia 42 tahun dibawa ke Mahkamah Majistret di sini pagi tadi.

“Suspek disyaki menjadi orang tengah dalam pengagihan projek kerajaan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi pada 2020 hingga 2022. Dia ditahan ketika memberikan keterangan di ibu pejabat SPRM malam tadi.

“Suspek juga dipercayai menerima rasuah bagi menghubungkan kontraktor-kontraktor dan pihak atasan,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Sumber itu memberitahu, beberapa kertas siasatan dibuka membabitkan sekurang-kurangnya lima individu disyaki dalang atau orang tengah kepada beberapa syarikat untuk memperoleh projek bernilai RM50 juta hingga RM500 juta secara rundingan terus.

“Bagaimanapun, hampir 90 peratus projek yang diberikan secara rundingan terus masih belum dilaksanakan kerana tiada pengeluaran surat setuju terima.

“Justeru, SPRM akan menumpukan siasatan ke atas baki 10 peratus projek yang sedang berjalan membabitkan perkembangan projek antara 10 peratus hingga 20 peratus,” jelas beliau.

Jelas sumber itu, setakat ini, beberapa kontraktor yang disoal siasat mengaku bersetuju membayar komisyen sebanyak tiga hingga lima peratus yang dimasukkan ke dalam akaun parti politik kononnya untuk tujuan pembiayaan politik.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan penahanan tersebut dan mmeberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009.

Pada 9 Disember lalu, SPRM mengesahkan menerima butiran berhubung pecahan dana pakej rangsangan ekonomi yang dibelanjakan kerajaan pada 2020 dan 2021 berkaitan pengurusan Covid-19.

SPRM dalam kenyataan memaklumkan nilai peruntukan dianggarkan RM530 bilion meliputi RM92.5 bilion dana kerajaan dan RM437.5 bilion bukan kerajaan.

Siasatan SPRM menumpukan kepada dana sebanyak RM92.5 bilion.- KOSMO! ONLINE

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo