USIA perkahwinan Helmi dan  Nurul Ain kini sudah lapan tahun.
USIA perkahwinan Helmi dan Nurul Ain kini sudah lapan tahun.

Kuala Lumpur: Benarlah orang kata cinta itu tidak mengenal pangkat, darjat dan harta. Malah, soal jodoh dan pertemuan adalah aturan yang sudah ditetapkan Allah SWT. Sebagai manusia, kita hanya mampu merancang dan Tuhan menentukan.

 Perkahwinan berlainan bangsa dan agama bukan lagi asing dalam kalangan masyarakat kita. Masing-masing ada alasan tersendiri atas pilihan dibuat. Pasangan Melayu dan Cina bersatu sebagai pasangan suami isteri antara yang sering menjadi perhatian.

 Pertembungan dua adat dan budaya dilihat bukan halangan buat mereka, sebaliknya masing-masing bahagia melayari bahtera rumah tangga bersama anak tercinta.

Kisah pertama

Pandangan pertama membuatkan mereka saling jatuh cinta.

Biarpun berbeza bangsa dan agama, namun jodoh mempertemukan Helmi Haffizudin Suhaimi, 33, dan isterinya berbangsa Cina, Nurul Ain Teh Abdullah, 31.

Helmi berkata, dia mula tertarik dengan wanita berbangsa Cina ketika bersekolah di Kuala Terengganu.

"Sejak sekolah menengah, saya suka tengok perempuan Cina dan mula pasang niat nak kahwin dengan orang Cina.

"Saya fikir kalau hanya nak main-main dan sekadar bercinta, nanti jadi tawar hati. Lagi satu, saya melihat orang Cina ada disiplin dari segi kerja dan bagi mereka, duit adalah segala-galanya.

"Saya kenal isteri di pusat beli-belah Sungei Wang Plaza yang mana dia bekerja di situ sebagai jurujual. Kami mula berkenalan dan berkawan selama enam bulan sebelum saya bawa berjumpa keluarga di Kuala Terengganu.

"Selepas masuk Islam, saya hantar dia belajar mengenai agama di madrasah di Kedah selama enam bulan. Selepas itu baru kami berkahwin.

"Dalam masa sama, saya juga mula memperbaiki diri dengan mendekatkan diri dengan agama. Saya perlu menjadi contoh dan teladan yang baik kepada dia apabila kami berkahwin.

"Alhamdulillah, perancangan kami untuk berkahwin dipermudahkan biarpun hanya buat majlis nikah sahaja. Sekarang usia perkahwinan kami sudah lapan tahun," katanya

Menurutnya, dari awal perkahwinan, isterinya seorang yang mudah dididik dan menerima setiap apa yang diajarkan.

"Diakui mendidik isteri yang masuk Islam lebih senang dari orang kita. Penerimaan dia mudah sebab dia nak belajar dan akan terima apa yang kita ajar.

"Sebagai contoh, masa mula-mula kahwin, dia pakai tudung singkat dan tak pakai stoking. Saya perlahan-lahan ajar untuk menjadi lebih baik.

"Ada ketika dia bertanya, kenapa orang lain tak buat. Jadi, saya terangkan tidak semua orang ikut perintah dan ajaran agama.

"Cuma saya tunjuk teladan mengenai ajaran Islam sebenar. Sekarang isteri sudah mengenakan purdah, itu pun atas kerelaan dia sendiri," katanya.

Sempena Tahun Baharu Cina ini, satu kegembiraan buat isteri apabila ibu mentuanya akan datang ke Kuala Terengganu untuk meraikan perayaan itu bersama keluarganya.

"Sejak berkahwin, isteri tidak sambut Tahun Baharu Cina. Saya tidak pernah halang kalau dia nak pergi melawat, tetapi isteri yang tak nak sebab keluarganya akan pergi bercuti.

"Namun, sambutan kali ini mak dan abangnya yang tinggal di Singapura akan datang melawat kami.

"Insya-Allah kami sudah rancang nak bawa jalan-jalan ke pulau. Ini satu lagi hadiah yang cukup bermakna buat isteri," katanya.

NURUL Shifa berkenalan dengan Jun Guang ketika terbabit dalam program tanggungjawab sosial.
NURUL Shifa berkenalan dengan Jun Guang ketika terbabit dalam program tanggungjawab sosial.

Kisah kedua

Bagi Nurul Shifa Kamardin, 32, dia juga punya kisah tersendiri apabila memilih untuk berkahwin dengan lelaki berbangsa Cina, Eh Jun Guang, 34, pada 2014.

Ibu kepada seorang cahaya mata lelaki berusia enam tahun itu berkata, dia berkenalan dengan suami yang dikenali sebagai Adam ketika terbabit dalam program tanggungjawab sosial anjuran badan bukan kerajaan (NGO).

Dia yang berasal dari Alor Setar, Kedah berkata, mereka tidak mengambil masa lama sebelum memutuskan untuk berkahwin.

"Kami ada masuk NGO dan di situ kawan-kawan yang perkenalkan kami.

"Selepas sebulan berkenalan, dia datang berjumpa ibu bapa saya dan bulan ketiga kami kahwin. Alhamdulillah, perkahwinan ini mendapat restu keluarga saya.

"Apa yang menguatkan untuk saya terima dan mengahwini suami ketika itu sebab sokongan ibu bapa walaupun ada risiko saya perlu terima.

"Suami pula terlebih dahulu memeluk Islam sejak dia berusia 18 tahun. Kiranya suami sudah kenal Islam sebelum kami berjumpa dan berkahwin," katanya.

Menurutnya, tiga hingga empat tahun pertama perkahwinan adalah fasa yang sukar buat dirinya daripada segi memberi pemahaman mengenai adat dan budaya masyarakat Melayu.

"Banyak perkara yang dipersoalkan suami antaranya kenapa perlu balik kampung.

"Kalau sambutan Hari Raya Aidilfitri, dia akan tanya kenapa perlu menziarahi sanak-saudara. Sedangkan apa yang dia faham, keluarga itu terdiri daripada ibu bapa dan adik beradik.

"Jadi, susah nak terangkan kepada dia macam mana hidup orang Melayu. Sekarang dia dah okey. Soal kerja pula, dia memang asyik fikir duit dan kerja macam tiada hari esok," katanya.

Berkongsi mengenai sambutan Tahun Baharu Cina kali ini, selepas sekian lama, bapa mentua mahu berjumpa suaminya.

"Kali terakhir suami balik kampung di Kluang, Johor pada 2016 ketika datuknya meninggal dunia.

"Tetapi kali ini ayahnya sudah terbuka hati untuk berjumpa. Tentu sahaja ini menjadi detik gembira buat suami seisi keluarga.

"Walaupun sudah tidak menyambut perayaan itu tetapi hubungan kekeluargaan tetap mahu dijaga," katanya.

Sumber - HMetro