Kapal Tempur Pesisir (LCS1) yang masih dalam pembinaan sebanyak 60 peratus semasa lawatan media di Boustead Naval Shipyard (BNS), Lumut, Perak. Foto MOHD ADZLAN, 13 OGOS 2022.- Gambar fail

Ahli Parlimen Muar itu menegaskan, rakyat berhak untuk mendapatkan jawapan berhubung skandal yang menjadi isu hangat sebelum Pilihan Raya Umum kK-15 (PRU15).

“Bila dalang-dalang besar kes LCS ni nak dibawa ke muka pengadilan? The people deserve an answer. Pelik bin ajaib!” ciap Syed Saddiq di Twitter.

Beliau mengulas perkembagan terbaharu projek berkenaan yang dilaporkan hari ini bahawa jumlah perolehan kapal untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu dikurangkan dari enam unit ke lima unit.

Syed Saddiq berkata, jumlah tersebut berkurangan walaupun kos projek berkenaan meningkat.

“Bayar lebih, dapat kurang. Dulu navy kita dijanjikan enam buah kapal LCS dengan harga RM6 biliom. Kini topup lagi jadi RM9 bilion tapi dapat lima kapal,” kata Ahli Parlimen Muar itu.

Bagaimanapun kata Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayub, jumlah kapal tersebut dikurangkan daripada enam unit kepada lima unit selepas proses permohonan semula dilakukan.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas perbincangan semula dengan kerajaan yang bersetuju meneruskan projek kapal terbabit.

“Pada asalnya memang enam, tetapi semasa kita mengemukakan permohonan dan dibincangkan semula perkara ini, kita persetujui kurangkan kepada lima sahaja. Jadi kita harap dapatlah lima itu.

"Projek LCS memang diteruskan seperti biasa. Pelaksanaannya adalah baik dan ada perjanjian tambahan keenam yang akan ditandatangani tidak lama lagi.

“Ini membolehkan proses seterusnya berjalan dan pembinaan dilaksanakan seperti dirancang,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perutusan Ulung Panglima Tentera Laut ke-18, di Auditorium Wisma Pertahanan, Kementerian Pertahanan, di sini, hari ini.

Projek pembinaan LCS adalah perolehan terbesar dalam sejarah Kementerian Pertahanan, dengan kos keseluruhan sebanyak RM9 bilion. Kontrak bagi projek itu bermula pada 2013 dan dijangka siap dalam masa 10 tahun.

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara dalam laporannya tahun lalu menyatakan, kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd yang dilaksanakan secara runding terus, namun tiada kapal yang diterima,

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli kemudiannya mendedahkan beberapa nama ahli politik yang didakwa terlibat dalam skandal tersebut ketika menjelang PRU15.-MalaysiaGazette