NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Walaupun kecewa, DAP Sarawak kekal penyokong kerajaan

Chong Chieng Jen berkata, Ahli Parlimen DAP Sarawak akan berperanan sebagai semak dan imbang di Parlimen.

PETALING JAYA: DAP Sarawak yang mempunyai lima Ahli Parlimen tidak kecewa tanpa sebarang jawatan kerajaan di peringkat persekutuan kerana ia bukan agenda utama parti itu.

Pengerusi DAP negeri, Chong Chieng Jen berkata, Ahli Parlimen parti itu memberi jaminan akan memainkan peranan “backbenchers” (penyokong) kerajaan perpaduan yang ditunjangi Pakatan Harapan (PH) di Dewan Rakyat.

Semalam, Ahli Parlimen Stampin itu mendedahkan ada “pihak tertentu” meminta DAP Sarawak dikecualikan daripada pentadbiran Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Chong dilaporkan berkata, Anwar menyampaikan perkara itu kepadanya Jumaat lalu, sebelum siaran langsung pengumuman barisan timbalan menteri.

Hari ini, Chong menegaskan jawatan menteri dan timbalan menteri bukan agenda utama DAP, tidak kira di peringkat persekutuan mahupun negeri.

“Perkara utama ketika ini ialah DAP dan PH adalah blok utama di peringkat persekutuan dan kami (DAP Sarawak) berperanan menjadi semak dan imbang di Parlimen serta memastikan ketelusan dan tadbir urus baik dilaksanakan dalam agensi dan kementerian,” katanya dipetik Bernama selepas mesyuarat jawatankuasa DAP peringkat negeri di Kuching.

Beliau berkata, prinsip parti itu adalah memajukan negara dan memastikan kerajaan lebih beramanah serta telus, manakala agenda utama negara yang perlu difokuskan kini termasuk cabaran ekonomi semasa dan kestabilan politik.

Sepuluh Ahli Parlimen DAP dilantik menganggotai kerajaan perpaduan pimpinan Anwar, dengan empat sebagai menteri dan enam menjadi timbalan menteri, tetapi tiada seorang pun dari Sarawak.

Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook dilantik sebagai menteri pengangkutan, Nga Kor Ming (menteri pembangunan kerajaan tempatan), Hannah Yeoh (menteri belia dan sukan) dan V Sivakumar (menteri sumber manusia).

Enam timbalan menteri pula ialah Steven Sim (kewangan), Ramkarpal Singh (undang-undang dan reformasi institusi), Chang Foong Hin (pertanian dan keterjaminan makanan), Liew Chin Tong (perdagangan antarabangsa dan industri), Teo Nie Ching (komunikasi dan digital) dan Lim Hui Ying (pendidikan).

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo