NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tengku Zafrul berdepan cabaran ‘bom jangka’ CPTPP


PETALING JAYA:
Berdepan kontroversi susulan pelantikannya sebagai menteri perdagangan antarabangsa dan industri, Tengku Zafrul Aziz kini perlu menguruskan satu lagi perkara besar – Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Walaupun baharu sahaja mengisi kedudukan itu, Tengku Zafrul perlu menangani peningkatan bantahan terhadap CPTPP.

Malaysia ratifikasi CPTPP pada 30 Sept 2022, sekaligus menjadi negara ke-9 daripada 11 negara meratifikasi perjanjian itu. Negara lain yang sudah menandatanganinya melibatkan Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.

Pendahulunya, Azmin Ali, berkata CPTPP akan berkuat kuasa bagi Malaysia, pada 29 Nov, selepas mengumumkannya, pada 6 Okt, empat hari sebelum Parlimen dibubarkan.

Pengkritik yang menentang perjanjian perdagangan bebas (FTA) itu, berkata ratifikasi tidak sepatutnya dibuat secara tergesa-gesa sebelum Parlimen dibubarkan.

Mereka berpandangan, memandangkan kerajaan baharu sudah ditubuhkan, adalah penting untuk CPTPP diteliti semula dan kesannya kepada negara. Justeru, Tengku Zafrul sebagai menteri bertanggungjawab melakukan penilaian semula pembabitan negara dalam CPTPP.

Kumpulan dan individu penting membantah perjanjian perdagangan berkenaan bergabung di bawah Gabungan Kedaulatan Negara (GKN) – platform mengumpulkan 143 persatuan sivil, ahli ekonomi, kumpulan buruh, pakar dan individu.

Gabungan itu sudah menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, pada 25 Nov, mendesak Malaysia menarik diri dari ratifikasi CPTPP.

Antara yang menandatangani memorandum itu termasuk tokoh terkemuka seperti ahli ekonomi, Jomo Kwame Sundaram, bekas Ahli Parlimen Klang Charles Santiago, bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah, selain anak Anwar sendiri, Nurul Izzah, yang juga bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Sebagai tambahan, 57 NGO juga menyokong memorandum bantahan itu selain kesatuan sekerja mewakili sektor perbankan, perladangan, tekstil, elektronik, pengangkutan udara dan kereta api.

GKN menyatakan kekecewaannya bahawa ratifikasi dibuat tanpa mengadakan libat urus mendalam dengan orang awam, selain analisis kos faedah (CBA) menyertai CPTPP tidak diperdebatkan di Parlimen.

Katanya, CBA dibuat “terlalu sempit dan berat sebelah” meliputi manfaat diperoleh dari eksport termasuk pelaburan dan tidak secara tuntas meneliti kos dan risiko menyertai CPTPP.

Bagaimanapun, ada pandangan berlawanan melibatkan CPTPP. Konsortium Syarikat Pertengahan Malaysia (MCMTC) dan Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) menentang gesaan kerajaan menarik diri daripada CPTPP.

Kumpulan pemikir, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) juga memberi amaran penarikan Malaysia daripada CPTPP seperti dimahukan sesetengah pihak.

Ketua pegawai eksekutifnya, Tricia Yeoh berkata, “Pusingan-U ketika ini akan memberi impak teruk kepada kredibiliti Malaysia di peringkat antarabangsa dan mungkin menakutkan pelabur asing yang mementingkan kestabilan.”

Manakala Pengarah Eksekutif Third World Network, Chee Yoke Ling, memberitahu FMT Business, berkata terdapat ‘histeria’ tertentu dalam kenyataan yang dibuat bahawa penarikan diri daripada CPTPP akan “memudaratkan ekonomi”.

Katanya, penguasaan pasaran eksport Malaysia dan dokongan pelaburan asing kekal berdaya tahan dan berterusan walaupun tanpa menjadi ahli dalam CPTPP.

Dalam pada itu, ahli ekonomi dari Sunway University, Yeah Kim Leng, berkata Tengku Zafrul perlu menangani bantahan dibangkitkan terhadap CPTPP.

Katanya, langkah kehadapan adalah Miti melantik PriceWaterhouseCoopers (PWC) bertujuan menjalankan kajian CBA, menelusuri bantahan dan kebimbangan dan mungkin mengambil kira pandangan pihak ketiga dan membuat tangkisan secara betul.

Tengku Zafrul juga perlu menggerakan kumpulan komunikasi baharu sekiranya mahu mematikan ‘bom jangka’ CPTPP.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran, Carmelo Ferlito, berkata Tengku Zafrul akan berdepan tentangan dalaman dan pembangkang berhubung perjanjian perdagangan itu.

“Ini menunjukkan beliau perlu menggerakkan kempen komunikasi yang berkemampuan memberi penjelasan bagaimana Malaysia boleh mendapat manfaat daripada perjanjian itu,” katanya.



........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo