NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Surat tawaran haji dikeluarkan sebaik kuota diputus Arab Saudi

Bakal haji boleh melayari www.thijari.com.my atau memuat naik aplikasi THiJARI bagi menyemak dan menjawab tawaran haji yang dikeluarkan
KUALA LUMPUR: Tarikh pengeluaran surat tawaran haji kepada bakal jemaah terpilih bagi musim haji 1444H/2023M akan dimaklumkan menerusi platform komunikasi rasmi Tabung Haji (TH) kelak.

Pengarah Eksekutif Haji TH, Syed Saleh Syed Abdul Rahman, menasihati orang ramai agar tidak mudah percaya dengan berita tular menerusi media sosial mengenai tarikh pengeluaran surat tawaran haji, rayuan haji, syarat kelayakan bakal haji dan kriteria pemeriksaan kesihatan.

Beliau berkata, berita tidak sahih itu menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat dan pihak TH menerima banyak pertanyaan mengenainya.

“Bakal jemaah haji Malaysia dinasihatkan menunggu pengumuman rasmi status ibadat haji tahun ini daripada TH yang akan dimaklumkan sebaik sahaja jumlah kuota, kriteria pemilihan dan kaedah pelaksanaannya untuk musim haji tahun ini telah diputuskan oleh kerajaan Arab Saudi.

“Setelah tarikh pengeluaran surat tawaran haji diumumkan, bakal haji Malaysia boleh melayari www.thijari.com.my atau memuat naik aplikasi THiJARI bagi menyemak dan menjawab tawaran haji yang telah dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan.

Dalam kenyataan sama, TH turut memaklumkan kursus asas haji sedang dianjurkan selama 13 minggu bermula 25 Nov ini hingga 17 Feb 2023 sebagai persediaan melengkapkan bakal haji dengan ilmu pengetahuan berkaitan ibadat haji serta mendapat gambaran suasana terkini di Tanah Suci.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi TH Contact Centre (THCC) di talian 03 6207 1919.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo