NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Selepas tiga tahun disekat, China turun status penyakit COVID-19, rakyat mula dibenarkan bercuti ke luar negara

SHANGHAI: Penduduk China yang sebelum ini disekat daripada ke luar negara selama tiga tahun akibat pandemik Covid-19 kini sudah dibenarkan melancong ke pelbagai destinasi impian mereka.

Biarpun kadar jangkitan Covid-19 di China ketika ini meningkat mendadak, situasi itu tidak menghalang rakyatnya daripada menempah tiket penerbangan untuk bercuti ke luar negara, terutamanya menjelang musim sambutan Tahun Baharu Cina.

Data pelancongan yang diperoleh dari platform Ctrip menunjukkan, selepas setengah jam berita kelonggaran bercuti itu disiarkan, banyak laman web pelancongan menjadi tumpuan pengguna.

Antara destinasi pilihan yang ditinjau rakyat negara ini adalah Macau, Hong Kong, Jepun, Thailand dan Korea Selatan.

Selain itu, laman web tiket penerbangan juga diserbu orang ramai dengan kebanyakannya melihat harga tiket ke beberapa destinasi seperti Thailand, Jepun dan Korea Selatan.

Walaupun jumlah kes jangkitan harian merekodkan peningkatan, tiada kes kematian baharu akibat koronavirus dicatatkan sejak enam hari lalu, sekali gus menimbulkan kegusaran dalam kalangan pakar kesihatan dan penduduk mengenai kesahihah data kerajaan.

Selain itu, antara langkah terbaharu yang dilakukan kerajaan China termasuk mengenakan kuarantin kepada pengembara yang memasuki negara ini bermula 8 Januari depan.

Di bawah peraturan baharu itu, pengembara hanya perlu melakukan ujian Polimerase-Transkripsi Terbalik (RT-PCR) yang diambil dalam tempoh 48 jam sebelum penerbangan untuk memasuki China.

“Berdasarkan undang-undang kuarantin kesihatan kebangsaan, langkah kuarantin penyakit berjangkit tidak lagi akan diambil terhadap pengembara dan barangan yang masuk ke negara ini,” menurut Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China (NHC).

China juga menurunkan status Covid-19 daripada peringkat teratas penyakit berjangkit, Kelas A kepada Kelas B peringkat kedua. – REUTERS

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo