NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Sedia tangani kahwin bawah umur, kata ADUN Sabah

Jannie Lasimbang berkata setakat ini perkahwinan mengikut adat di Sabah tidak mempunyai had umur minimum dan masih dapat dilaksanakan.


PETALING JAYA: Mahkamah Anak Negeri (MAN) di Sabah perlu bersedia untuk menangani kes-kes permohonan perkahwinan di bawah umur 18 tahun sebaik sahaja pindaan undang-undang diluluskan oleh Jemaah Menteri.

ADUN Kepayan Jannie Lasimbang berkata, setakat ini, perkahwinan mengikut adat di Sabah tidak mempunyai had umur minimum dan masih dapat dilaksanakan dengan kebenaran ketua-ketua adat di MAN.

“Langkah meminda had umur perkahwinan adalah selaras dengan peranan dan tanggungjawab Malaysia sebagai negara pihak kepada Konvensyen Hak Kanak-kanak dan Konvensyen untuk Menghapuskan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita.

“Konvensyen berkenaan memperuntukkan hak kanak-kanak dilindungi dari segala bentuk keganasan dan penganiayaan serta hak wanita berhubung perkahwinan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian “Dialog isu-isu berkenaan langkah meminda had umur perkahwinan di bawah Enakmen Mahkamah Anak Negeri, khususnya Kaedah Undang-undang Adat Anak Negeri” anjuran PACOS Trust, di Penampang, hari ini.

Selain itu, Jannie berkata, beliau telah memulakan proses pindaan undang-undang berkenaan ketika dia berada di Kementerian Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri (KUHEANS).

Katanya, proses berkenaan antara lainnya menjadi langkah-langkah menghentikan Perkahwinan Bawah Umur 18 tahun (PBU18) di Sabah seperti terkandung dalam Pelan Tindakan 10 Tahun.

Beliau berkata, pelan tindakan itu adalah hasil kajian dan forum antara pelbagai agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) serta ketua-ketua masyarakat.

“Usaha masa kini untuk teruskan pelaksanaan pelan tindakan melibatkan Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat yang akan fokuskan kepada pendidikan sosial, manakala Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan lebih kepada pindaan undang-undang dan perlatihan kakitangan MAN.

“Saya difahamkan Jabatan Peguam Negeri Sabah bersama sebuah jawatankuasa khas telah menyiapkan kertas kabinet berkaitan pindaan kepada Kaedah Enakmen MAN dan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri oleh menteri kerajaan tempatan dan perumahan dalam masa terdekat.

“Saya amat berharap pindaan tersebut diluluskan dengan segera supaya Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri, Institut Latihan MAN dan Jabatan Peguam Negeri dapat memberi latihan kepada ketua-ketua adat yang jelas semasa dialog menyatakan keperluan garis panduan dan arahan amalan dalam menangani permohonan PBU18,” katanya.


Sumber | FMT Malaysia 







........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo