NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Sebab Muhyiddin kurang buat sidang media lepas mesyuarat Kabinet

Perdana Menteri Ke-10 menjadikan sidang media selepas mesyuarat Kabinet sebagai satu SOP baharu. Ini satu amalan baik yang menunjukkan keterbukaan kerajaan.

Cuma ada pihak yang membandingkannya dengan pentadbiran dahulu yang tidak menjadikan sidang media selepas mesyuarat Kabinet sebagai satu amalan. Seolahnya pentadbiran dahulu tidak terbuka.

Dia begini. Setiap Perdana Menteri ada cara masing-masing dalam gaya kepimpinan dan pengurusan, termasuk pengurusan media. Ada sebab-sebab tertentu mengapa mereka bertindak begitu.

Saya tidak boleh komen mengenai pentadbiran PM yang lain. Tetapi semasa Tan Sri Muhyiddin menjadi PM-8, antara tugas saya sebagai Ketua Setiausaha Sulit pada ketika itu ialah menyelaras hal-hal berkaitan mesyuarat Kabinet.


Mesyuarat mingguan Kabinet (atau istilah rasminya Mesyuarat Jemaah Menteri) diadakan pada setiap hari Rabu. Kecuali ketika Parlimen bersidang, mesyuarat diadakan pada hari Jumaat.

Pada hari Isnin, semua kertas yang hendak dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet sampai di atas meja saya. Kertas-kertas ini dikelaskan sebagai “RAHSIA” yang tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi.

Ada juga kertas yang dihantar kemudian sebagai “late paper” atau kertas lewat yang memerlukan kelulusan Perdana Menteri terlebih dahulu sebelum dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet.

Ada dua jenis kertas yang dibentangkan iaitu (i) Memorandum Jemaah Menteri (MJM) yang memerlukan keputusan Kabinet dan (ii) Nota Jemaah Menteri (NJM) yang tidak memerlukan keputusan Kabinet. Kabinet hanya dikehendaki mengambil maklum sahaja kandungan kertas tersebut.

Antara perkara yang dibawa dalam bentuk MJM ialah dasar-dasar baharu kerajaan, rang undang-undang yang hendak dibentangkan di Parlimen, kontrak atau perjanjian kerajaan, bantuan untuk rakyat dan perkara-perkara lain yang memerlukan keputusan Kabinet.

Sementara perkara-perkara yang hendak dimaklumkan sahaja kepada Kabinet seperti hasil lawatan Menteri ke luar negara, penganjuran persidangan-persidangan antarabangsa, penerimaan perwakilan negara asing ke Malaysia dan lain-lain perkara yang tidak memerlukan keputusan Kabinet dibawa dalam bentuk NJM.

Semua kertas ini disediakan oleh kementerian yang berkaitan dan dibentangkan oleh Menteri masing-masing dalam mesyuarat Kabinet.
Kebanyakan kertas yang dibawa ke mesyuarat Kabinet mengandungi hal-hal yang berkaitan dengan day-to-day running of the government atau hal ehwal pentadbiran harian kerajaan. Tidak semua kertas ini mempunyai “news value”.

Kecuali jika ia melibatkan keputusan-keputusan penting yang berkaitan dengan kebajikan rakyat seperti pemberian bantuan tunai langsung (direct cash transfer), moratorium pinjaman bank, bantuan untuk perniagaan, subsidi dan lain-lain, maka perkara-perkara ini mesti diumumkan kepada rakyat.

Jika terdapat kertas-kertas sebegini, saya akan memaklumkan kepada Setiausaha Akhbar untuk menyediakan deraf kenyataan untuk diumumkan oleh Tan Sri Muhyiddin. Kenyataan ini disediakan oleh kementerian yang berkaitan, bukan oleh Pejabat Perdana Menteri.

Kenapa?

Kerana ia berkaitan dengan dasar, data dan fakta yang hanya diketahui oleh kementerian yang berkaitan. Contohnya, jika ia melibatkan pemberian Bantuan Prihatin Nasional, hanya Kementerian Kewangan yang mempunyai maklumat dan data mengenai jumlah penerima, jumlah peruntukan, kriteria penerima, syarat-syarat kelayakan, kaedah penyaluran dan lain-lain.

Jadi, adalah penting deraf kenyataan mengenainya disediakan dan disemak oleh Kementerian Kewangan terlebih dahulu sebelum diumumkan oleh Perdana Menteri.

Setelah Kabinet membuat keputusan, barulah pengumuman dibuat. Sebelum itu, Tan Sri Muhyiddin akan meneliti teks pengumuman baris demi baris untuk memastikan apa yang diumumkan adalah selari dengan keputusan Kabinet. Kadang-kadang ada juga ketikanya Kabinet membuat keputusan yang berbeza daripada apa yang dicadangkan oleh Kementerian.

Sebagai sebahagian daripada “best practice” kami di PMO pada ketika itu, teks akhir pengumuman mesti mendapat “sign-off” daripada Ketua Setiauaha Kementerian atau Menteri yang berkaitan. Biasanya Tan Sri sendiri akan bertanya samada teks itu telah disemak oleh pihak kementerian atau Menteri.

Tidak pernah pengumuman dibuat secara off-the-cuff. Ini untuk mengelakkan kesilapan. Lebih-lebih lagi apa yang keluar dari mulut Perdana Menteri adalah dasar yang tidak boleh ditarik balik. Jika ditarik balik, atau tersilap fakta, maka itu akan menampakkan kelemahan kerajaan.

Atas sebab inilah, Tan Sri Muhyiddin tidak mengadakan sidang media secara off-the-cuff setiap kali selepas mesyuarat Kabinet. Jika ada perkara-perkara penting yang hendak diumumkan kepada rakyat, pengumuman akan dibuat secara langsung di televisyen. Rakyat akan diberitahu jam berapa pengumuman akan dibuat.

Setelah diumumkan, teks pengumuman akan diedarkan kepada media dan dihebahkan melalui media sosial. Selain mendengar pengumuman di televisyen, rakyat juga boleh membaca teks pengumuman tersebut yang mengandungi banyak maklumat dan penjelasan yang molek diketahui oleh rakyat.

Namun, saya akui oleh kerana Tan Sri Muhyiddin memimpin negara ketika pandemik, peluang untuk bertemu wartawan agak terhad. Beliau bukan tidak suka atau tidak mahu menjawab soalan wartawan.

Wartawan yang membuat liputan sidang media Tan Sri Muhyiddin tahu bagaimana cara beliau menjawab soalan-soalan wartawan. Amat jarang sekali beliau menjawab secara ringkas atau mengambil pendekatan evasive (mengelak) daripada menjawab soalan. Beliau akan menjawab setiap soalan secara jelas, terperinci dan objektif.

Datuk Dr Marzuki Mohamad
Bekas Ketua Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri Kelapan.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian 1Media.my. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo