NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Rafizi beri alasan tak masuk akal menghalalkan Anwar pegang menteri kewangan

Penjelasan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berhubung tindakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim memegang jawatan menteri kewangan dilihat samar-samar dan menimbulkan lebih banyak persoalan berbanding jawapan. 

Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) Thomas Fann berkata, jawapan itu memerlukan penjelasan yang lanjut. 

"Rafizi perlu huraikan mengapa 'keadaan luar biasa' dalam membentuk kerajaan memerlukan Anwar menjadi menteri kewangan,” katanya kepada MalaysiaNow.

"Adakah dia mengandaikan bahawa jika bukan Anwar, individu bukan daripada Pakatan Harapan (PH) mahukan jawatan itu?"

Ahli Parlimen Pandan itu menyatakan keadaan luar biasa membolehkan PH membelakangkan pendirian mereka l perdana menteri tidak boleh memegang jawatan menteri kewangan bagi mengelakkan salah guna kuasa.

Beliau juga menyatakan dalam kempen ceramah PH di Padang Serai baru-baru ini bahawa keperibadian Anwar tidak sama dengan Najib Razak, dalam usaha memberi penjelasan berhubung isu itu. 

Sebelum ini, perdana menteri keenam Najib turut mengambil portfolio kementerian kewangan dan melantik menteri kewangan kedua untuk membantunya, sekali gus meluaskan bidang kuasanya sebagai perdana menteri, selain membuka ruang penyalahgunaan kuasa.

Ia dapat dilihat apabila Najib terjerat dengan kuasa yang begitu luas apabila akhirnya didapati bersalah dalam kes SRC International. 

Beliau kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Isu integriti dan pemisahan kuasa antara perkara yang disebut-sebut oleh kumpulan sivil dan badan-badan pemerhati. 

Antara lain ialah kuasa perdana menteri melantik pegawai tertinggi kerajaan seperti ketua pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sebelum ini, Majlis Raja-Raja turut mencadangkan perdana menteri tidak terlibat dalam pelantikan lima daripada sembilan ahli Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).

Rafizi sendiri pada 2015 mahu memfailkan Rang Undang-Undang Persendirian bagi menghalang perdana menteri melantik diri sendiri menjadi menteri kewangan. 

Tindakan Anwar itu turut menerima kritikan pelbagai pihak.

Naib Presiden Bersatu,Radzi Jidin menyelar tindakan itu yang disifatkan menghapuskan mekanisme semak dan imbang. 

"Justeru, rakyat Malaysia yang memahami tentang tadbir urus negara pun tentunya tidak bersetuju. Perkara paling asas dalam sesebuah negara adalah mempunyai satu sistem tadbir urus yang mantap dan kukuh. 

“Sistem ini akan dapat melindungi dan memastikan wang kerajaan digunakan secara keseluruhannya dengan cekap,” katanya. 

Sementara itu, Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood dari Universiti Islam Antarabangsa berkata, berkata, kenyataan keadaan luar biasa itu tidak dapat memuaskan ramai orang kerana Anwar dilihat cuba menunjukkan pentadbiran beliau berbeza berbanding zaman Dr Mahathir Mohamad dan Najib.

"Alasan yang diberikan seolah-olah cuba mencari justifikasi yang mungkin tidak dapat menyakinkan semua orang. 

“Cuma kita berharap pada satu ketika nanti jawatan tersebut diberi kepada ahli Parlimen lain kerana dengan mengambil kira kemudaratan berbanding dengan kebaikan memegang portfolio yang amat penting tersebut," tambahnya.

Namun pada peringkat awal, Nik Ahmad berkata “benefit of the doubt” boleh diberikan kepada Anwar dan kerajaan untuk meneruskan jawatan menteri kewangan.

Tambah beliau, PH tiada pilihan selain mengotakan perkara berkenaan kerana sudah membuat janji.

"Ahli politik perlu berhati-hati dalam membuat sesuatu janji. 

“Jika ia tidak boleh ditunaikan atau sukar untuk tunaikan, seelok-elok tidak membuat sebarang kenyataan berkaitan dengan sesuatu perkara," katanya.

Dalam pada itu, Fann berkata masih terlalu awal untuk menilai keupayaan PH dalam menunaikan janji-janji lain berkaitan pemisahan kuasa, integriti dan urus tadbir. 

"Kami menyeru beliau untuk mempercepatkan reformasi agar sebarang keraguan mengenai komitmennya melawan korupsi dan mempromosikan pentadbiran baik akan hilang," katanya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo