NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Misteri kehilangan bekas personaliti TV3 belum terjawab, kes masih disiasat polis

PETALING JAYA: Siasatan kes kehilangan bekas personaliti TV3, Zalina Azman tidak pernah ditutup malah ia dibuat secara menyeluruh mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Menegaskan kepada Utusan Malaysia, Timbalan Ketua Polis Sela­ngor, Datuk S. Sasikala Devi berkata, siasatan terperinci dilakukan termasuk mendapatkan maklumat atau perkembangan kes daripada ahli keluarga dan individu yang mempunyai maklumat mengenainya.

Namun begitu kata beliau, sehingga kini, tiada sebarang petunjuk baharu diperoleh pihaknya mengenai keberadaan Zalina.

“Kes berkenaan masih tidak ditutup, pelbagai usaha dilakukan tetapi tiada petunjuk yang diperoleh.

“Selain itu, kediaman yang diduduki Zalina juga tidak menunjukkan ada pergerakan keluar dan masuk oleh sesiapa sejak kehilanganya dilaporkan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Pada Julai lalu, berita kehilangan personaliti berkenaan dikongsikan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

Dalam laporan berkenaan, Zalina disifatkan berkulit hitam manis, bertubuh kecil dan beralamat akhir di Seksyen 3, Shah Alam, Selangor.

Kali terakhir anak kepada bekas personaliti TV3 itu berhubung dengan ibunya adalah pada Julai tahun lalu.

Sementara itu, pengacara, Datuk Aznil Nawawi memaklumkan, dia sentiasa menunggu perkembangan terkini sahabat baiknya itu.

Aznil berkata, meskipun buntu dan masih berteka-teki tentang keberadaan Zalina, beliau tidak pernah putus mendoakan agar sahabatnya itu ditemukan dalam keadaan baik dan selamat.

“Saya dan rakan-rakan lain buntu dan masih tidak tahu di mana dia berada sehingga ke hari ini. Malah, pihak polis juga belum dapat menjejakinya. Hanya doa yang dapat dititipkan dengan harapan dia ditemukan selamat, satu hari nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Aznil mengakui, kesal kerana sebelum ini, jarang memberi perhatian terhadap Zalina sehingga menyebabkan mereka terputus hubungan. – UTUSAN

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo