Siasatan SPAN itu termasuk mengadakan lawatan tapak ke kawasan perindustrian berhampiran oleh SPAN dan agensi penguatkuasaan yang lain. - Gambar fail |
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah memulakan siasatan berhubung insiden pelepasan efluen terlarang ke alur air yang dipercayai mengakibatkan pencemaran bau di Negeri Sembilan dan Selangor, Khamis dan Jumaat lepas.
SPAN dalam kenyataan hari ini berkata siasatan itu termasuk mengadakan lawatan tapak ke kawasan perindustrian berhampiran oleh SPAN dan agensi penguatkuasaan yang lain, selain menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti bahan serta pelaku.
Menurut suruhanjaya itu, insiden tersebut disiasat di bawah Seksyen 121 (1)(c) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) iaitu berkaitan pencemaran terhadap alur air atau sistem bekalan air yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali sekiranya pelaku didapati bersalah.
"SPAN ingin mengingatkan semua pihak agar cakna tentang keperluan memelihara sumber air dan memandang serius situasi pelepasan efluen ke alur air terutama melibatkan efluen terlarang sama ada secara sengaja atau tidak sengaja.
"Perbuatan tidak bertanggungjawab ini jika tidak dihentikan bakal mengakibatkan masalah berterusan kepada kemaslahatan masyarakat serta ekonomi secara amnya," katanya.
Semalam, media melaporkan Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih dan Bukit Tampoi dihenti tugas sementara susulan pencemaran bau sehingga empat ton yang dikesan di muka sauk Jenderam Hilir, Dengkil, dekat sini, masing-masing pada pukul 11 malam Khamis lepas dan 2 pagi semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor Hee Loy Sian dilapor berkata kedua-duanya bagaimanapun kembali beroperasi masing-masing pada pukul 1.30 pagi dan 8 pagi semalam.
Menurut Hee, Lembaga Urus Air Selangor telah menerima maklumat daripada Jabatan Alam Sekitar Selangor berhubung pencemaran sungai berbuih dan bau seakan sabun di lokasi Sungai Batang Benar, Negeri Sembilan yang disyaki berpunca daripada pelepasan premis kilang di kawasan perindustrian berdekatan.
-- BERNAMA
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment