NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pemuda PN lapor polis ‘pakatan jahat’ MoU mudaratkan demokrasi


Pemuda Perikatan Nasional (PN) membuat laporan polis berhubung ‘pakatan jahat’ antara pemimpin parti-parti pemerintah berkaitan Perjanjian Persefahaman Kerjasama (MoU), yang didakwa merosakkan dan memudaratkan demokrasi.

Ketua Pemuda PN Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan perjanjian antara Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), dan WARISAN itu memudaratkan kerana ia memaksa Ahli Parlimen (MP) gabungan mengundi usul dibawa kerajaan.

“Jadi hari ini kami Pemuda Perikatan Nasional datang ke balai polis Dang Wangi untuk membuat satu laporan berhubung MoU yang telah pun ditandatangani oleh parti-parti yang berada dalam kerajaan pada hari ini.

“Bagi kami MoU yang telah ditandatangani ini merupakan satu pakatan yang mencerobohi hak dan kebebasan ahli-ahli Parlimen untuk mengundi dengan adil dan bebas di dalam Parlimen.

“Dan bagi kami ia telah pun merupakan satu aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen di bawah Seksyen 124b Akta 574 dan percubaan aktiviti memudaratkan demokrasi Parlimen di bawah seksyen 124c Akta 574.

“Ia juga bersalahan dengan undang-undang Malaysia di bawah Seksyen 225b Akta 574 dan memuat seperti perjanjian yang kesan dan objektifnya adalah haram dan tidak sah melanggar Seksyen 24 dan 25 Akta Kontrak 1950 yang merosakkan dan memudaratkan demokrasi Parlimen bercanggah dengan polisi awam dan tidak dibenarkan di sisi undang-undang dan berunsur salah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media setelah mengetuai Pemuda PN membuat laporan hari ini (18 Disember 2022).

Ahmad Fadhli yang juga MPO Pasir Mas berkata Pemuda PN melihat bahawa tindakan itu menunjukkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak yakin dengan kesetiaan MP sehingga terpaksa membuat MoU yang jelas sekali mengetepikan hak dan kebebasan MP untuk mengundi

Katanya MoU yang dibuat itu jelas sekali telah mengetepikan kebebasan MP untuk mengundi berdasarkan kepada kebebasan dan juga berdasarkan kepada pemikiran yang bebas daripada MP itu sendiri.

“Kalau macam ni baik tak payah pilih ahli Parlimen… kita kira pergi daftar kehadiran dan terus buat blok-blok sahaja mengundi atau pun tak payah pilih ahli Parlimen terus… sebab ahli Parlimen tak payah bahas… tak payah undi… tak payah habiskan masa untuk buat sidang Dewan Rakyat.

“Jadi yang penting kita minta supaya polis dapat menyiasat laporan ini dan kalau terbukti ia benar-benar melanggar undang-undang kita minta supaya mereka yang merancang, mereka yang bersubahat, mereka yang menandatangani perjanjian seperti ini dapat diheret ke muka pengadilan,” katanya lagi.

Menyifatkan MoU itu juga sebagai tindakan memperdagangkan manusia, Ahmad Fadhli mengambil kesempatan menyeru MP yang ada supaya tidak sesekali membiarkan diri dan maruah mereka digadai pemimpin parti politik.

“Ini lebih daripada memperdagangkan manusia kerana ahli-ahli Parlimen sudah digadai oleh pemimpin parti masing-masing. Tak tahulah berapa nilai yang mereka gadaikan tetapi rupa-rupanya sangat murah harga ahli-ahli Parlimen hingga digadai dengan betitu murah oleh pemimpin parti masing-masing.

“Jadi yang penting kita sebagai ahli Parlimen dipilih oleh rakyat, kita hendaklah berfungsi sebagai wakil rakyat bahas dan mengundi berdasarkan kepada apa yang kita fikir ia baik untuk rakyat, bukannya membuat ugutan kalau mengundi bertentangan dengan pimpinan parti masing-masing kerusi terus terlucut itu satu ugutan yang merendahkan mentaliti dan juga tahap pemikiran ahli-ahli Parlimen,” katanya.

PH, BN, GPS, GRS, dan Warisan yang membentuk ‘kerajaan perpaduan’ menandatangani perjanjian itu kelmarin, menjelang usul undi percaya terhadap Anwar pada Isnin di Dewan Rakyat.

Antara kandungan perjanjian itu ialah kegagalan MP dalam kerajaan PH-UMNO mengundi atau menyokong perdana menteri dalam usul-usul berkaitan dengan usul percaya, perbekalan, atau sebarang usul berbentuk prosedur yang mempunyai kesan kepada keabsahan kerajaan, dikira meletak jawatan.

.......
https://www.agendadaily.com


........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo