NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Mangsa banjir di Pahang, Terengganu, Kelantan terus meningkat malam ini

Jumlah mangsa banjir di Pahang meningkat kepada 865 orang daripada 218 keluarga pada jam 8 malam ini berbanding 709 orang daripada 179 keluarga jam 4 petang tadi. - Gambar/ APM


KUALA LUMPUR: Mangsa banjir di Pahang, Terengganu dan Kelantan terus mencatatkan peningkatan malam ini berbanding petang tadi, manakala di Johor menunjukkan sedikit penurunan dan tiada perubahan jumlah mangsa di Perak.
Di PAHANG, jumlah mangsa meningkat kepada 865 orang daripada 218 keluarga pada jam 8 malam ini berbanding 709 orang daripada 179 keluarga jam 4 petang tadi.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang dalam satu kenyataan berkata, semua mangsa kini ditempatkan di 11 pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Kuantan dan Raub.
"Bilangan mangsa tertinggi ialah di Kuantan iaitu 647 orang daripada 159 keluarga yang berada di lapan PPS daerah itu.
“Daripada jumlah itu, seramai 226 mangsa daripada 50 keluarga berada di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Beserah dan 125 mangsa daripada 35 keluarga lagi berada di PPS SK Sungai Karang," katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.
Jelasnya, selain itu PPS SK Sungai Ular menempatkan 41 mangsa daripada 10 keluarga, PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pelindung (201 mangsa daripada 50 keluarga); PPS SK Pelindung (65 mangsa daripada 15 keluarga) dan PPS SK Cherating (93 mangsa daripada 26 keluarga).
Dalam pada itu katanya, dua lagi PPS dibuka petang tadi iaitu PPS Surau Kampung Chendor yang menempatkan 42 mangsa daripada 10 keluarga dan PPS Balai Raya Bukit Kuin 1 yang menempatkan 10 mangsa daripada dua keluarga.
"Di Raub pula tiga PPS beroperasi yang menempatkan 62 mangsa daripada 20 keluarga.
"PPS Dewan Kampung Pia yang dibuka pada Ahad masih menempatkan 40 mangsa daripada 13 keluarga; PPS Balai Raya Kampung Ria (tujuh mangsa daripada dua keluarga) dan PPS Balai Raya Chenua (15 mangsa daripada lima keluarga," katanya.
Ikuti semua perkembangan mengenai banjir DI SINI!
Sementara itu, Bernama melaporkan, di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 29,717 orang daripada 8,214 keluarga berbanding 19,601 orang daripada 5,699 keluarga petang tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan memaklumkan kini terdapat 293 pusat pemindahan sementara (PPS) yang sedang beroperasi di kesemua lapan daerah.
Setakat malam ini Kemaman menjadi daerah yang paling teruk terjejas membabitkan 9,717 mangsa (2,497 keluarga); Hulu Terengganu seramai 6,401 mangsa (1,978 keluarga); Besut 5,492 mangsa (1,506 keluarga); dan Setiu 3,988 mangsa (1,196 keluarga).
Selain itu Dungun merekodkan 1,963 mangsa (527 keluarga); Kuala Terengganu 987 mangsa (241 keluarga); Kuala Nerus 689 mangsa (160 keluarga); manakala Marang 480 mangsa (109 keluarga).
Sementara itu, Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Ahmad Izram Osman berkata pasukannya melakukan pemantauan udara bagi mendapat gambaran sebenar situasi dan tahap banjir di Terengganu, dan dijadual melakukan pemantauan serupa di Kelantan, esok.
Di KELANTAN, Portal Rasmi eBanjir negeri https://ebanjir.kelantan.gov.my/ memaklumkan, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 14,359 orang daripada 3,942 keluarga malam ini, berbanding 12,104 orang daripada 3,295 keluarga petang tadi.
Menurut portal itu, sebanyak 104 PPS dibuka membabitkan sembilan jajahan iaitu Kota Bharu, Pasir Mas, Tumpat, Bachok, Tanah Merah, Pasir Puteh, Kuala Krai, Machang dan Jeli.
Berdasarkan laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my/, sembilan sungai utama telah melepasi paras bahaya termasuk Sungai Lebir di Kampung Tualang, Kuala Krai dengan bacaan 40.71 meter (m), Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah (24.84m) dan Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas (10.78m).
Di JOHOR, jumlah mangsa banjir di daerah Segamat menurun kepada 53 orang setakat 8 malam ini berbanding 75 orang yang direkodkan petang tadi.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dalam satu kenyataan memaklumkan lokasi terjejas di daerah itu melibatkan Kampung Seberang Batu Badak, Kampung Batu 5 dan Kampung Kuala Paya.
Menurut kenyataan itu kesemua mangsa terdiri daripada 17 keluarga, ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Batu Badak, Balai Raya Kampung Kuala Paya dan Dewan Komuniti Kampung Tasek.
Di PERAK, jumlah mangsa banjir kekal 54 orang dari 17 keluarga dengan kesemuanya ditempatkan di dua PPS iaitu Dewan Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib (SMART) Batu 4 dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tiang Darat.

Sumber I Astro Awani 



........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo