Pemimpin Bersatu mempersoalkan keputusan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengarahkan “pembatalan kelulusan” kontrak projek tebatan banjir bernilai antara RM7 bilion sehingga RM15 bilion yang sebelum ini dibuat secara rundingan terus.
Menyifatkan ia sebagai mengutamakan karenah birokrasi berbanding kebajikan rakyat, Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Shah Alam, Afif Bahardin berkata tindakan itu juga bersifat jahat dan bertujuan untuk memburukkan PN.
"Saya percaya ketika perbincangan projek tebatan banjir berlaku ketika pentadbiran PN, semua prinsip ketelusan dan peraturan masih dipatuhi tetapi proses perbincangan dipercepatkan kerana isu perubahan iklim terutamanya banjir adalah isu yang sangat mendesak.
"Sehubungan itu, pembatalan kelulusan dibuat Anwar bukan sahaja melengah-lengahkan usaha melindungi kebajikan rakyat dan negara tetapi juga berniat jahat ke atas PN yang didakwa tidak mematuhi prinsip ketelusan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, projek berkenaan bukan sekadar soal pembinaan aspek fizikal tebatan banjir tetapi meliputi keseluruhan ekosistem pengurusan bencana yang perlu dibangunkan demi keselamatan rakyat.
“Jadi, apabila Pakatan Harapan (PH) sudah menjadi kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan, adakah pertimbangan darurat iklim ini sudah tidak dipedulikan mereka dan mahu mendahulukan karenah birokrasi?” soalnya.
Pada 6 Dis lalu, perdana menteri mengarahkan kelulusan mutakhir projek tebatan banjir yang dilaksanakan melalui rundingan terus tanpa proses tender diteliti semula.
Anwar yang juga menteri kewangan berkata kelulusan peruntukan itu tidak akan diteruskan dan akan diteliti semula supaya terdapat prinsip ketelusan dan mematuhi peraturan yang ditetapkan
Dalam pada itu, Afif mempersoalkan apakah Anwar telah berunding dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) Selangor berhubung pembatalan itu sebagai sebuah negeri yang cukup terkesan dilanda banjir.
"Di bawah pentadbiran PN sebelum ini, wujud cadangan untuk membina kolam takungan bawah tanah banjir di lokasi Stadium Shah Alam seluas 15 ekar.
“Peruntukan untuk cadangan projek ini akan disumbang bersama oleh kerajaan PN di persekutuan dengan jumlah RM450 juta dan PH Selangor di peringkat negeri.
"Sekarang kita boleh bertanya, dengan tindakan Anwar membatalkan kelulusan adakah beliau berunding dengan kepimpinan PH Selangor, negeri yang saban tahun dilanda yang semakin teruk?" katanya.
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment