NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ksesuaian pilihan raya kerajaan tempatan, DAP Perak mulakan langkah

IPOH: Usaha mengembalikan pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan di Perak, memerlukan kajian lanjut, kata Pengerusi Jawatankuasa (Exco) Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teja, menegaskan usaha mengembalikan pilihan raya itu tidak disenaraikan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) atau dalam kerjasama kerajaan campuran dengan Barisan Nasional (BN).

"Pastinya, di bawah portfolio saya, akan mengkaji semula sama ada dari segi perundangan, praktikaliti, implikasi kewangan dan setakat mana kesediaan kita untuk melaksanakan semula pilihan raya ini kerana saya rasa dalam jangkamasa panjang ini (pilihan raya kerajaan tempatan) sesuatu yang patut kita laksanakan.

"Cuma saya tak boleh komen berkenaan jangkamasa dan berapa lama lah (proses). Cuma saya memang ada hasrat untuk semak balik dan untuk kita sekurang-kurangnya ada pelan untuk kita semak," katanya selepas menyempurnakan perasmian Ekspo Perdagangan Perak 2022 di Stadium Indera Mulia, di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan portal berita dalam talian yang mendakwa pelaksanaan semula pilihan raya kerajaan tempatan yang dilapor diperjuangkan DAP yang juga komponen PH sejak sekian lama.

Sandrea berkata, pada masa ini beliau masih di tahap permulaan dengan langkah awal ke arah itu adalah mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Negeri pada bulan ini bagi mula mengkaji.

"Jadi kami akan mula mengkaji. Cuma saya rasa tidak adil apabila tiba-tiba ada pihak timbulkan kekeliruan kepada rakyat (mengenai pilihan raya kerajaan tempatan).

"Dalam jangka masa panjang sebenarnya, adalah baik untuk kita mula kaji semula, adakah sesuai, mampu dan bagaimana 'road map' untuk kita laksanakan balik (proses) undi ketiga dalam tangan rakyat ini (pilihan raya kerajaan tempatan)," katanya.

Sebagai rekod, pilihan raya kerajaan tempatan bakal membolehkan penduduk sesuatu kawasan mengundi calon Datuk Bandar, serta ahli-ahli tertinggi Dewan Bandaraya atau Majlis Perbandaran mahupun Majlis Daerah.

Ia pernah dilaksanakan di Malaysia ketika awal kemerdekaan sebelum dihentikan sekitar 1964 disebabkan antaranya kekhuatiran ada kebarangkalian ia akan menyemarak ketegangan kaum, khususnya tanggapan bahawa sesetengah bandar atau kawasan didominasi kaum tertentu.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo