NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kerakyatan anak lahir luar negara, mahkamah benar untuk rayuan

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan di sini hari ini membenarkan rayuan sebuah persatuan dan enam wanita supaya kanak-kanak dilahirkan di luar negara oleh ibu warga Malaysia yang berkahwin dengan warga asing berhak mendapat kerakyatan Malaysia.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Amar Abang Iskandar Abang Hashim yang bersidang bersama dua Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Mary Lim Thiam Suan.

Rayuan itu dibuat oleh Persatuan Sokongan Keluarga dan Kebajikan Selangor & Kuala Lumpur (Family Frontiers) dan enam wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing, selain seorang wanita kelahiran luar negara, yang ibunya adalah warga Malaysia.

Semasa prosiding panel hakim juga menolak tiga persoalan dibangkitkan oleh peguam mewakili kerajaan selaku responden dalam kes itu, namun mahkamah akan mendengar lima persoalan daripada peguam pemohon.

Pada prosiding merayu yang akan ditetapkan tarikhnya kemudian, pihak-pihak yang terlibat diarahkan untuk berhujah mengenai lima persoalan perundangan antaranya mengenai peruntukkan Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan yang menghalang sebarang bentuk diskriminasi terhadap seseorang atas alasan jantina.

Pada 5 Ogos lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dalam keputusan 2-1 memutuskan bahawa kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing tidak layak untuk mendapat kewarganegaraan negara ini secara automatik.

Penghakiman tersebut sekali gus membatalkan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan bahawa kanak-kanak yang dilahirkan oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing di luar negara berhak melalui peraturan undang-undang untuk menjadi warganegara Malaysia.

Panel tiga hakim terbabit turut memutuskan mana-mana anak plaintif yang telah mendapat kewarganegaraan selepas keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini, kewarganegaraan itu kekal sehingga kes itu diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

Bagi permohonan-permohonan plaintif yang masih diproses, permohonan tersebut perlu `dibekukan’ sehingga kes dimuktamadkan.

Melalui saman pemula yang difailkan pada 18 Disember 2020, Family Frontiers antara lain memohon enam perintah mahkamah termasuk deklarasi bahawa Seksyen 1(b) dan Seksyen 1(c) Jadual Kedua, Bahagian II Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama dengan Perkara 8 (2) bagi memasukkan ibu rakyat Malaysia sebagai syarat untuk bayi yang dilahirkan di luar negara diberikan kerakyatan Malaysia secara automatik.

Antara lain, mereka meminta mahkamah mengeluarkan perintah kepada semua agensi kerajaan berkaitan termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Imigresen dan kedutaan Malaysia agar mengeluarkan semua dokumen membabitkan kerakyatan (termasuk pasport dan kad pengenalan) kepada anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibunya iaitu warga Malaysia yang berkahwin dengan warga asing. – KOSMO! ONLINE

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo