NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kecewa sikap pucuk pimpinan punca Zool Amali keluar UMNO

SEREMBAN – Kecewa dengan sikap pucuk pimpinan yang didakwa mempermain-mainkan suara akar umbi menjadi punca yang mendorong bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Seremban, Zool Amali Hussin membuat keputusan meninggalkan parti itu.

Dalam sidang media di Kampung Rawa, Lenggeng di sini hari ini, beliau turut mengumumkan telah mengemukakan permohonan untuk menyertai Pas.

Zool Amali turut menyuarakan kekesalan terhadap situasi selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di mana suara akar umbi yang menolak sebarang kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) diketepikan oleh pucuk pimpinan UMNO.

Beliau juga mendakwa berasa tertipu dan hilang kepercayaan terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kerana apa yang berlaku ketika ini bercanggah dengan ketetapan Perhimpunan Agung UMNO 2020.

“Akar umbi rasa sedih dah kecewa saya yakin ramai yang menentang dan ingin keluar tetapi mereka telah dimomokkan dengan naratif penubuhan kerajaan.

“Sampai bila ahli-ahli UMNO akan diperkudakan oleh kepimpinan di atas semata-mata untuk kepentingan diri sendiri?” katanya.

Yang turut hadir, Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha; Pengarah Operasi Jabatan Pilihan Raya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Badrul Hisham Shaharin dan penyanyi popular era 1990-an, Dayangku Intan.

Pada sidang media itu, Zool Amali turut menyerahkan borang permohonan menjadi ahli Pas kepada Rafiei.

Ketika ditanya mengapa memilih Pas dan bukannya Bersatu, beliau menjelaskan, minat terhadap parti itu timbul semasa bersama dalam Muafakat Nasional (MN) dahulu.

Waktu dalam MN dahulu ada ukhuwah dengan Pas, kawan-kawan saya ramai dalam Pas, jadi saya ingat biarlah saya berada dalam Pas,” ujarnya.

Zool Amali yang sebelum ini menyandang jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Seremban sejak 2018 menafikan beliau dijanjikan jawatan atau bakal menjadi calon Pas pada pilihan raya akan datang.

“Saya tak minta jawatan pun, masuk secara sukarela dan mahu membantu kemenangan Pas dalam pilihan raya,” jelasnya.

Beliau yakin tindakannya itu akan mencetuskan ‘tsunami Jebat’ yang menyebabkan lebih ramai ahli UMNO khususnya di Seremban menyertai Pas.

“Saya tahu ramai orang UMNO kecam saya, tanya apa jasa saya. Biarlah Allah SWT sahaja yang tahu,” katanya. – MalaysiaGazette

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo