NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Inisiatif Blooming Panda galak wanita sertai ekonomi gig



KUALA LUMPUR, 7 Dis (Bernama) -- Peneraju perkhidmatan penghantaran makanan foodpanda Malaysia menjalin kerjasama dengan Urbanice Malaysia bagi memperkenalkan Blooming Panda, inisiatif untuk menjadikan wanita sebagai rakan penghantar dan dilengkapi basikal.

Pengarah Operasi foodpanda Malaysia Kelvin Chan berkata inisiatif itu sebagai usaha meringankan beban dan cabaran pekerja wanita dalam ekonomi gig selain memperkasakan golongan itu.

“Inisiatif ini diperkenalkan untuk menggalakkan penyertaan wanita dalam ekonomi gig. Sejak bermula pandemik, golongan wanita telah menanggung beban dan pengorbanan keterlaluan. Sejak beberapa tahun ini, kita melihat betapa cekal dan tabahnya mereka. 

“Kami menyedari permintaan untuk kerja yang lebih fleksibel dan untuk wanita dapat menghabiskan lebih banyak masa bagi perkara yang penting buat mereka. Kami komited menyediakan jalan bagi membantu wanita mengatasi halangan dalam menyara keluarga dan menyumbang kepada ekonomi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pada majlis yang diadakan di Pusat Matlamat Pembangunan Mampan Negara hari ini, seramai 35 wanita yang memerlukan telah menerima basikal tajaan Urbanice Malaysia.

Katanya selain mewujudkan peluang pekerjaan dan membantu wanita maju dalam ekonomi gig, kerjasama dengan Urbanice Malaysia juga bertujuan membangunkan komuniti mampan dengan mempromosikan penggunaan kenderaan sifar pelepasan karbon seperti basikal dan e-skuter.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Urbanice Malaysia Norliza Hashim berkata selain membantu mempromosikan kemampanan bandar, pihaknya percaya bahawa pemerkasaan wanita penting bagi pembangunan kesihatan dan sosial keluarga serta masyarakat.

“Apabila seseorang wanita itu dapat menjalani kehidupan memuaskan dan selamat, mereka dapat meningkatkan potensi diri sedia ada, menyumbang kemahiran mereka kepada tenaga kerja dan membolehkan mereka membesarkan anak-anak dengan gembira dan sihat.

“Ini boleh memacu kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan dan memanfaatkan masyarakat, negara serta kemanusiaan secara keseluruhan,” katanya.

Rakan kerjasama lain dalam inisiatif itu termasuk Lembaga Zakat Selangor yang akan memberikan tiga bulan zakat kepada peserta dalam kalangan asnaf yang layak pada program itu manakala Kiddocare, sebuah platform dalam talian bagi penjagaan bayi akan menaja tiga bulan penjagaan anak di rumah untuk pasangan terlibat.

-- BERNAMA



........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo