NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

‘Ini satu penghinaan buat rakyat negeri Perlis’


KANGAR:
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli menyifatkan kenyataan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli yang mengaitkan Perlis sebagai negeri pertama memohon bantuan Kerajaan Persekutuan sebagai penghinaan kepada rakyat negeri ini.

Beliau berkata, ia seperti menghina rakyat negeri Perlis yang memilih PERIKATAN NASIONAL (PN) dan digambarkan seperti kerajaan negeri meminta sedekah kepada kerajaan Persekutuan.

“Perkara ini tidak sepatutnya dipolitikkan dan beliau seharusnya lebih memahami konsep federalisme dalam pentadbiran kerajaan di negara ini.

“Ini merupakan satu penghinaan buat rakyat negeri Perlis yang telah memilih PN dan saya hadir berjumpa Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam suasana mesra dan harmoni,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis Ke-15 di sini hari ini.

Terdahulu, Rafizi ketika membahaskan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri mendakwa Kerajaan Perlis pimpinan PN menjadi negeri pertama yang memohon bantuan daripada Kerajaan Pusat selepas Pilihan Raya Umum Ke-15.

Mohd Shukri menjelaskan, pertemuan beliau bersama Anwar pada 12 Disember lepas adalah atas jemputan dan bukannya daripada permohonan kerajaan negeri.

“Jadi saya amat berbesar hati atas jemputan itu dan bukannya saya mohon untuk jumpa Perdana Menteri.

“Itu sebabnya saya rasa cukup bangga dan hal ini tidak perlu dipolitikkan kerana perjumpaan Menteri Besar dan Perdana Menteri adalah perkara biasa,” katanya.

Pada pertemuan itu, beliau juga memohon peruntukan pendahuluan untuk emolumen bagi tahun hadapan dan turut diluluskan oleh Perdana Menteri.

Beliau juga meminta pertimbangan Perdana Menteri agar dapat meneruskan semula pengoperasian zon aliran bebas di Wang Kelian bagi merancakkan kembali aktiviti ekonomi di kawasan itu.

“Kita telah minta perkara ini kepada Perdana Menteri dan beliau akan meneliti terlebih dahulu mengenai pembukaan semula Wang Kelian,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/12/2022


........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo