NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

DSR akan lancar sistem penjejakan bersepadu Musang King tahun depan

Pengerusi Eksekutif DSR Taiko Berhad Ng Soh Kian (dua, kanan) bergambar bersama Ketua Pegawai Eksekutif DSR Taiko Berhad Datuk Ng Lian Poh (dua, kiri) selepas Mesyuarat Am Tahunan Kedua DSR Taiko Berhad di Eco Santuari Telok Panglima Garang.


BANTING, 7 Dis (Bernama) -- DSR Taiko Bhd (DSR) akan melancarkan Sistem Penjejakan Bersepadu Musang King  (MKITS) pada suku pertama tahun depan bagi mempromosikan raja buah itu di pasaran antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Ng Lian Poh berkata sebagai pakar durian bersepadu pertama Malaysia, syarikat itu dan SIRIM Tech Venture, anak syarikat SIRIM Bhd, menjalin kerjasama sejak tahun lepas untuk membangunkan MKITS yang mengesahkan sumber durian kepada pelanggan. 

“Sistem itu akan membantu melindungi keaslian durian Musang King di Malaysia. Inilah apa yang kami mahu lakukan bagi durian Malaysia, terutamanya Musang King yang hanya boleh di dapati di Malaysia dengan kualiti baik.

“Kami berharap dengan menggunakan sistem ini, ia boleh membantu mempromosikan durian Musang King kita ke persada dunia,” katanya kepada media selepas mesyuarat agung tahunan kedua syarikat itu di Telok Panglima Garang, di sini, hari ini.

Ng berkata DRS merancang untuk mengembangkan produk berasaskan duriannya seperti kudapan, minuman dan pencuci mulut, ke empat atau lima negara tahun depan. 

Beliau berkata menjelang suku keempat tahun ini syarikat itu telah menembusi pasaran Emiriah Arab Bersatu, Bahrain, Kanada dan Australia menerusi rakan kongsinya Daily Fresh Food.

“Kami ada banyak produk yang masih dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), tetapi kami akan menyenarai pendek produk tersebut bagi menentukan yang mana lebih sesuai bagi pasaran Malaysia dan antarabangsa kerana industri tersebut adalah agak baharu terutamanya bagi produk hiliran.  

“Kami tidak mengeksport durian mentah ke banyak negara tetapi fokus kami pada masa ini adalah untuk mempromosikan produk hiliran kami yang boleh memberikan margin dan keuntungan yang lebih baik bagi syarikat. selain menjadi lebih mampan bagi perniagaan jangka panjang kami,” katanya. 

Di pasaran tempatan, Ng berkata syarikat itu akan melancarkan 10 produk yang boleh didapati di cawangannya di Kulai, Johor; Raub dan Bentong, Pahang dan Lot 10, Kuala Lumpur pada tahun depan. 

DSR terlibat dalam industri durian bersepadu penuh sejak 2017 dan bermula dengan kebun durian seluas  1.38 hektar di Raub. 

Sejak kali pertama ditubuhkan, DSR meluaskan saiz perladangan duriannya kepada 40.47 hektar, merangkumi lebih 3,800 pokok durian dengan kebanyakannya daripada jenis asli durian Musang King dari Raub.        

 -- BERNAMA




........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo