NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Banjir landa Terengganu, empat beranak tidur dalam kereta

KUALA TERENGGANU: Empat beranak terpaksa tidur di dalam kereta selepas rumah mereka dinaiki air dalam kejadian banjir di Kampung Mengabang Tengah, Batu Buruk di sini, malam kelmarin.

Halina Mohamed, 52, berkata, dia dan suami, Awang Omar, 66, bersama dua lagi anak mereka tidur di dalam kereta sebelum berpindah di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Chedering, di sini pada pukul 8.30 pagi semalam.

Katanya, mereka sekeluarga yang sebelum itu tidur di dalam rumah terkejut apabila bekalan elektrik terputus selepas air memasuki rumahnya sedalam kira-kira 0.5 meter pada pukul 12.30 malam.

“Air banjir masuki ke dalam rumah dengan cepat sehingga kami tidak sempat menyelamatkan barangan ke tempat selamat.

“Saya mempunyai empat anak berusia 16 tahun hingga 27 tahun. Dua daripada mereka tidur di dalam kereta bersama saya dan suami, manakala seorang lagi anak tidur di rumah untuk menjaga keselamatan,” katanya ketika ditemui di PPS SK Chendering, di sini, semalam.

Halina memberitahu, rumahnya dinaiki air selepas hujan lebat dan air laut pasang besar di Pantai Batu Buruk di sini.

Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu memaklumkan, dua PPS dibuka di daerah ini yang menempatkan seramai 50 mangsa banjir daripada 14 keluarga di sini, semalam.

Menurutnya, seramai 33 mangsa daripada sembilan keluarga itu berpindah di PPS SK Chendering manakala 17 mangsa lagi daripada empat keluarga pula dipindahkan ke SK Atas Tol.

Beberapa kawasan di pusat bandar ini seperti di Hentian Bas Kuala Terengganu dan Jalan Kamaruddin turut dinaiki air selepas hujan lebat berterusan. – UTUSAN

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo