NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Armizan belum buat pengumuman atau hantar surat peletakan jawatannya dalam Bersatu

Ahli Parlimen Papar Armizan Mohd Ali berkata GRS tidak boleh tunduk dengan keputusan serta arahan yang dilihat membelakangi kepentingan umum.

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Papar Armizan Mohd Ali menjelaskan, penyertaannya dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menerusi keahlian langsung dan bertanding pada pilihan raya umum Ke-15 (PRU15) atas tiket gabungan berkenaan.

Katanya, GRS adalah parti bersifat individu dengan keahliannya meliputi dua kategori iaitu keahlian langsung dan keahlian parti gabungan.

“Sebagai ahli pasukan yang terlibat dalam penggubalan perlembagaan GRS dan urusan pendaftaran GRS di ROS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan).

“Saya sangat sentimental dengan penubuhan gabungan ini, dan saya antara ahli awal GRS melalui ‘direct membership’ dan saya bertanding dalam pilihan raya, atas tiket GRS,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Armizan yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) berkata, beliau setakat ini belum membuat pengumuman atau menghantar surat peletakan jawatannya dalam Bersatu.

Bagaimanapun katanya, beliau ada mendengar yang beberapa pemimpin kanan Bersatu mahu dia dipecat daripada parti itu kerana menyertai kerajaan perpaduan sebagai Jemaah Menteri.

“Kalau kamu tanya saya sudah keluar Bersatu atau belum, saya tak buat pengumuman atau menghantar surat perletakan jawatan keahlian.

“Apa yang saya dengar ada dalam platform tertentu, ada beberapa pemimpin kanan Bersatu yang mengusulkan saya dipecat keahlian kerana menganggotai kerajaan perpaduan sebagai menteri Kabinet.

“Tapi setakat ini saya belum terima apa-apa makluman rasmi tentang status keahlian saya dalam Bersatu. Isunya di sini adalah percanggahan pendirian di antara Bersatu Sabah dan Bersatu di pusat mengenai keahlian dalam kerajaan perpaduan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut berkata, keputusan GRS menyertai kerajaan perpaduan adalah atas rasional tiada mana-mana parti atau gabungan yang boleh menubuhkan kerajaan.

“Apa pilihan yang kita ada? Pilihan raya semula? Apa jaminan ada parti atau gabungan yang boleh menang sendiri dan tubuh kerajaan.

“Kami akur dengan titah Tuanku (Yang di-Pertuan Agong) dan meyakini ‘wisdom’ di sebalik titah tersebut,” katanya.

Arminza berkata, GRS juga bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana parti nasional namun apabila perkara penting yang melibatkan kepentingan negara, GRS tidak boleh tunduk dengan keputusan serta arahan yang dilihat membelakangi kepentingan umum.

Katanya, kepentingan tanah air perlu mengatasi kepentingan kepartian.

“Kerajaan perlu ditubuhkan, rakyat perlukan pimpinan kerajaan dan dalam hal ini, kita mahu menjadi tuan dalam menentukan hala tuju kita, hala tuju yang melibatkan kepentingan besar negara dan negeri,” katanya.

Terdahulu, bekas menteri undang-undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, empat Ahli Parlimen Sabah tidak mempunyai pilihan selain mengosongkan kerusi sebaik sahaja keluar daripada parti itu secara rasmi.

Bagaimanapun katanya, selagi empat Ahli Parlimen Sabah yang lain kekal dalam Bersatu, mereka tidak perlu mengosongkan kerusi walaupun tidak akur kepada pendirian parti.

Wan Junaidi juga menolak tanggapan bahawa undang-undang itu akan melihat Bersatu Sabah sebagai entiti yang berasingan daripada Bersatu.

Pandangannya bagaimanapun berbeza dengan peguam Perlembagaan, Fuad Tengku Ahmad yang berkata, empat Ahli Parlimen itu bertanding sebagai calon GRS, bukannya calon Perikatan Nasional (PN) atau Bersatu.

Selain Armizan, tiga lagi Ahli Parlimen berkenaan ialah Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang).

Visit website

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo