NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Anwar patut tanya Zafrul, kata Muhyiddin mengenai isu dakwaan seleweng hampir RM600 bilion


PETALING JAYA:
Muhyiddin Yassin menggesa Perdana Menteri, Anwar Ibrahim memanggil bekas menteri kewangan, Tengku Zafrul Aziz menjelaskan sama ada benar wujud penyelewengan perbelanjaan RM530 bilion oleh pentadbiran Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.

Bekas perdana menteri itu berkata, jika terbukti berlaku salah guna kuasa melibatkan dirinya berhubung dana itu, beliau sedia didakwa, sambil bersumpah tidak ada satu sen pun dana tersebut diseleweng.

“Dia (kerajaan Anwar) tuduh saya mana pergi wang RM600 bilion, sewaktu saya jadi perdana menteri kita sebenarnya belanja RM530 bilion bukan RM600 bilion untuk bantu nasib rakyat berhadapan masalah Covid-19 dan ekonomi.

“Yang menguruskan ini menteri kewangan pada waktu itu, namanya Tengku Zafrul, yang namanya juga tersenarai dalam Jemaah Menteri baharu Anwar sekarang ini sebagai menteri perdagangan antarabangsa dan industri (MITI).

“Kamu (Anwar), panggil sahaja Zafrul pergi ke pejabat pagi esok, tanya betul ke Muhyiddin ‘tapau’ semua RM600 bilion itu, saya (sedia) dihadap ke mahkamah bila-bila masa sahaja,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian ketika berucap di program Ceramah Grand Finale PN di Tapak Bazar Ramadhan Taman Selasih sempena pilihan raya bagi kerusi Parlimen Padang Serai malam tadi.

Beliau yang juga pengerusi PN berkata, selain Zafrul, perdana menteri boleh memanggil ketua setiausaha perbendaharaan untuk menjelaskan perkara itu.

Tambahnya, daripada jumlah RM530 bilion yang melibatkan lapan pakej bantuan dan rangsangan ekonomi diumumkan ketika wabak Covid-19 melanda, hanya RM80 bilion sahaja merupakan dana kerajaan.

“Kita belanja untuk bantu rakyat susah dan semua yang dibelanjakan mengikut peraturan. Anwar ada di sebelah pembangkang ketika beberapa rang undang-undang (RUU) dibentang di Parlimen untuk kelulusan termasuk RUU berkaitan Covid-19.

“Saya nak tanya, dia (Anwar) sudah jumpa ketua setiausaha perbendaharaan, sudah dapat taklimat ke belum? Minta diberi taklimat dulu, jangan buat tuduhan melulu,” katanya.

Muhyiddin membuat kenyataan itu sebagai respons terhadap gesaan pihak tertentu untuk menyiasat dakwaan perbelanjaan hampir RM600 bilion itu ketika kerajaan diterajui beliau.

Terbaharu Anwar menafikan mengeluarkan arahan bagi menyiasat perbelanjaan RM600 bilion tanpa tender yang dibuat kerajaan terdahulu.

Tegasnya, Kementerian Kewangan akan memberi makluman mengenai pelanggaran tersebut dan ia diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya.



........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo