NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ahli Parlimen BN enggan bersama PH dipelawa guna logo PN jika PRK

PETALING JAYA – Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari berpandangan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang masih berpegang kepada prinsip untuk tidak bersama Pakatan Harapan (PH) masih boleh menentang usul kerajaan di Parlimen.

Menurut beliau, risiko paling teruk yang akan dihadapi adalah hilang kerusi Parlimen dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), namun mereka boleh bertanding semula apabila Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan di kawasan tersebut.

“Sudah tentu jika ada perundingan, PN boleh tawarkan logo. Dengan ‘mood’ rakyat seperti di Padang Serai, tidak mustahil mereka boleh menang (jadi Ahli Parlimen) semula.

“Tetapi jika mahu teruskan untuk menyokong kerajaan campuran PH/BN terpulanglah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Petang tadi parti-parti utama yang membentuk Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selesai menandatangani perjanjian Permuafakatan Antara Gabungan di Pejabat Perdana Menteri.

Perjanjian persefahaman tersebut dibuat adalah bagi parti-parti yang bersama-sama membentuk Kerajaan Perpaduan menyatakan persetujuan terhadap gabungan berkenaan serta kepimpinan Perdana Menteri.

Hadir pada majlis menandatangani itu ialah Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Fadillah Yusof; Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Abang Openg dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Hajiji Noor.

Pemeteraian permuafakatan tersebut juga dibuat agar Sidang Khas Parlimen akan diadakan selama dua hari pada 19 hingga 20 Disember ini berjalan dengan lancar.

Antara agenda utama Sidang Khas Parlimen kelak ialah bagi memilih Yang di-Pertua Dewan Rakyat selain usul undi percaya kepada kepimpinan Perdana Menteri. – KOSMO! ONLINE

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo