NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

ADUN Pas persoal larangan terhadapnya beri kuliah di masjid Pahang


SEORANG wakil rakyat Pas di Pahang mempersoalkan tindakan pihak berkuasa agama negeri itu melarangnya berceramah di sebuah masjid di Jengka, tempat dia aktif bersyarah sejak tiga tahun lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenor, Mujibur Rahman Ishak menerusi catatan Facebook beliau bertanya kenapa dirinya disekat daripada memberikan kuliah pengajian agama walhal dia tidak pernah menyentuh politik dalam ceramahnya.

“Selaku penceramah, insya-Allah saya memilih untuk profesional. Ketika kuliah, tiada disebut Pas atau mana-mana parti lain.

“Kita sebut tentang Al-Quran dan Hadith. Kita sebut tentang Islam dan musuh Islam.

“Mengapa ini terjadi. Tepuk dada. Tanya Iman,” kata Mujibur hari ini.

Catatan Mujibur turut berkongsi ulasan ADUN Kuala Sentul, Datuk Jasri Jamaludin, yang pertama kali mengetengahkan isu itu apabila mendakwa larangan terhadap Mujibur bermotifkan politik.

Dalam maklum balas, Exco Kerajaan Pahang Syed Ibrahim Syed Ahmad, yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama Islam, berkongsi kenyataan bahawa mana-mana individu atau kumpulan yang ingin menjalankan aktiviti atau mengajar di masjid di negeri ini perlu mendapatkan kelulusan bertulis daripada jabatan agama daerah masing-masing.

Beliau berkata, kerajaan negeri memandang serius titah Sultan Pahang bahawa masjid tidak boleh dipolitikkan dan ceramah anjuran parti politik tidak dibenarkan.

“Ini terpakai kepada semua, termasuk mereka yang sealiran dengan kerajaan negeri.

“Garis panduan yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Pahang, Jabatan Agama Islam Pahang dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang adalah amat signifikan dan bertepatan agar tiada penceramah yang menyampaikan ceramah cenderung kepada fahaman aqidah selain daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah, Asyairah dan Matrudiah.

“Sekiranya terdapat pihak yang ingin menganjurkan ceramah atau sebarang aktiviti di masjid atau surau melalui mana-mana NGO, ia perlu mendapatkan kebenaran secara bertulis dari Pejabat Agama Islam Daerah di daerah masing-masing supaya ia diimarah dan dimakmurkan senada titah Kebawah Duli Tuanku serta selari dengan garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa negeri,” kata Syed Ibrahim.


........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo