NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Umno menuju kehancuran jika jalin kerjasama dengan PH, DAP - Annuar


PETALING JAYA: Pemimpin Umno telah diberi amaran bahawa parti itu menuju kehancuran jika menjalin kerjasama dengan PH dan DAP dalam membentuk kerajaan persekutuan yang baharu.

Ketua Umno Ketereh Annuar Musa berkata, Umno sedang diheret untuk bekerjasama dengan gabungan yang tidak mempunyai ideal yang sama.

Katanya, Umno “menolak saudara sesama Islam” dalam PAS dan Bersatu, dan memilih untuk bekerjasama dengan “(golongan) liberal dan sosialis” dalam PH dan DAP.

“Dan itu membawa kita ke jalan yang berbahaya,” katanya.

Beliau berkata, jika Umno masih meneruskan hubungan dengan DAP, “maka akhirnya orang Melayu akan melupakan kita”.

Katanya, BN memperoleh tiga juta undi pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), angka yang sama dengan jumlah ahli Umno.

“Yang menyokong kita pada PRU15, hanyalah ahli kita sendiri, sedangkan orang lain menyokong PN,” katanya.

Beliau berkata, Umno menolak bekerjasama dengan DAP kerana tiada titik persamaan.

“Perlembagaan parti DAP (bersifat) sosialis dan liberal. Kami (Umno) bukan sosialis atau liberal, kami konservatif,” katanya.

Annuar menggesa Umno-BN menerima mandat rakyat dan menjadi pembangkang di Dewan Rakyat kerana rakyat jelas menolak gabungan itu dan memilih Perikatan Nasional (PN).

Beliau menolak dakwaan bahawa PAS dan Bersatu akan menguburkan Umno jika BN bekerjasama dengan PN untuk membentuk kerajaan. Dalam pilihan raya kecil yang lalu, kedua-dua parti itu menyokong Umno, katanya.

“Di mana yang kata (mereka) nak bunuh Umno?” soalnya.

Annuar berkata, formula “gerak solo” dicetuskan oleh pucuk pimpinan parti dan disembunyikan daripada ahli parti untuk meninggalkan PAS dan Bersatu demi agenda peribadi.

“Formula ini ialah formula yang gagal, dan terbukti ia suatu bencana,” katanya.

Annuar juga berkata, presiden parti Ahmad Zahid Hamidi telah merancang formula ini apabila bertemu dengan beberapa pemimpin PH antara Julai dan Ogos 2020 bagi menunjukkan sokongannya kepada presiden PKR Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri.

“Kami menerima laporan bahawa presiden (Zahid) mengadakan pertemuan di Ampang dengan beberapa pemimpin PH, termasuk Anwar dan Loke Siew Fook (DAP), mereka merancang menunjukkan sokongan kepada Anwar untuk menjadi perdana menteri,” katanya.

Parti tidak memberikan banyak perhatian kepada perkara itu tetapi keraguan timbul apabila Anwar mengumumkan beliau mempunyai angka yang mencukupi untuk membentuk kerajaan berikutan peletakan jawatan Muhyiddin Yassin.

“Akhirnya, terbukti bahawa presiden telah menandatangani surat untuk memberi sokongan kepada Anwar (menjadi perdana menteri) dan berjanji taat setia,” katanya.


Sumber I FMT Malaysia 





............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo