NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Siapa Muhammad Fawwaz?


KUALA LUMPUR –
Siapakah Muhammad Fawwaz Mohamad Jan yang berjaya merobohkan kubu kuat Pakatan Harapan (PH) di Permatang Pauh sekali gus mengalahkan penyandangnya, Nurul Izzah Anwar?

Barisan Nasional (BN) khususnya sejak lima kali Pilihan Raya Umum (PRU) dari 1982 sehingga PRU ke-15 gagal menembusi kawasan itu yang dipertahankan secara turun temurun oleh keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim, isteri dan anaknya.

Bagaimanapun semalam, Puteri Reformasi  yang baru satu penggal menjadi wakil rakyat di situ selepas mengambil alih dari ibunya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dengan mudah dikalahkan oleh Muhammad Fawwaz – seorang pendakwah.

Beliau adalah muka baharu dari Perikatan Nasional (PN) dan pertama kali dicalonkan telah mengalahkan Nurul Izzah dengan majoriti 5,272 undi.

MGF10012021_PELANCARAN-PROFESSIONAL-MUDA-AMK_-11
Nurul Izzah Anwar

Dalam pertandingan itu, Muhammad Fawwaz memperoleh 37,638 undi, manakala Nurul Izzah mendapat 32,366 undi dan pencabar yang lain, Mohd Zaidi Mohd Said dari Barisan Nasional (BN) mendapat 16,971 undi dan Mohd Nasir Othman dari Pejuang-Putra sebanyak 473 undi.

Keputusan yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi kerusi Permatang Pauh malam tadi jelas mengejutkan banyak pihak kerana sejarah menunjukkan sejak terlibat dalam politik, Naib Presiden PKR itu tidak pernah kalah sepanjang mempertahankan kerusi Parlimen Lembah Pantai di Kuala Lumpur.

Padahaldalam pertandingan di Lembah Pantai, Nurul Izzah dicabar bukan calang-calang orang iaitu mantan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Nong Chik.

Begitu juga penggal PRU14, apabila Nurul Izzah dipindahkan ke Permatang Pauh bagi menggantikan ibunya, beliau ditentang oleh Mohd Zaid dan Afnan Hamimi Taib Azamudden dari Pas dan dengan mudah mengalahkan mereka.

Pemilih Muhammad Fawwaz mewakili Pas turut disisihkan dari pemerhati politik kerana menganggap pendakwah itu juga sama nasib seperti pencabar  lain dalam PRU sebelumnya.

Tetapi tidak siapa menduga, dari awal keputusan tidak rasmi jumlah undi yang diperoleh, Muhammad Fawwaz mendahului jumlah undi Nurul Izzah sehingga kepada keputusan rasmi, jumlah kekal teratas sehingga diisytiharkan sebagai pemenang kerusi Parlimen Permatang Pauh.

Lanjutan daripada cerapan biodatanya, tidak ada yang istimewa mengenai beliau melainkan memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dalam sebuah organisasi yang tidak ternama iaitu Yayasan Darul Hadis Al-Filfilaniyyah.

Selain itu, Muhammad Fawwaz juga merupakan bekas Eksekutif Zakat Pulau Pinang, sementara penglibatannya dalam politik ialah Ketua Pemuda PN Pulau Pinang, Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang dan mantan Ketua Pemuda Pas Permatang Pauh.

Beliau juga Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Kawasan Permatang Pauh dan AJK Lajnah Keahlian Ulamak Pelapis.

Masa Muhammad Fawwaz ini banyak dihabiskan dengan aktiviti agama iaitu selaku Penasihat Majlis Ilmu Pulau Pinang, Penasihat Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Darul Hadis, Ahli Lembaga Pengarah Maahad Tahfiz Kejal dan aktif mengajar di masjid serta surau.

Jika dikatakan beliau tidak mempunyai masa untuk berkempen sebagaimana calon lain termasuk Nurul Izzah sendiri yang siang malam menyantuni orang ramai, apa kurangnya dengan cara kempen Muhammad Fawwaz.

Beliau selama ini tidak pernah renggang dengan masjid dan surau dengan berdakwah kepada orang ramai melalui masjid dan surau. Itu sudah dianggap sebagai caranya untuk mempromosikan diri.

Malah, kaedah ini lebih mendekatkan dirinya dengan masyarakat, yang secara tersurat dikatakan kempen serampang dua mata.

Kemenangan Muhammad Fawwaz merampas kerusi Permatang Pauh semalam adalah yang kedua selepas kubu kuat PH itu berjaya diceroboh kali pertama oleh calon Pas, Zabidi Ali pada PRU 1978 iaitu selama 44 tahun. – MalaysiaGazette




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo